PUTRAJAYA: Malaysia akan membuat penelitian terlebih dahulu terhadap dokumen deklarasi dikeluarkan susulan mesyuarat khas di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut Hamas meletakkan senjata dan tidak lagi mentadbir Gaza.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini, susulan permintaan PBB supaya Malaysia menyatakan pendirian mengenainya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pendirian Malaysia berhubung isu Palestin masih tidak berubah, iaitu negara Palestin mempunyai hak untuk wujud.
“Hari ini, Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) telah memberi taklimat dan sedikit maklum balas berdasarkan mesyuarat khas diadakan di PBB, beberapa hari lalu.
“Ia adalah hasil koordinasi antara Arab Saudi dengan Perancis, manakala wakil tetap Malaysia ke PBB telah diminta untuk melihat, menandatangani satu kenyataan bersama tetapi keputusan kerajaan ialah kita memerlukan masa untuk meneliti.
“Ketika ini, pendirian Malaysia mengenai Palestin tidak berubah. Pendirian kerajaan ialah negara Palestin itu mempunyai hak untuk wujud, dan kita tidak melihat kepada perkara-perkara lain.
“Jadi, kita memberi sedikit masa kepada Wisma Putra untuk meneliti sepenuhnya dokumen yang dimaksudkan itu,” katanya pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan bahawa Qatar, Arab Saudi dan Mesir ialah antara 17 negara bersama Britain, Perancis serta Kanada, menandatangani deklarasi menuntut Hamas meletakkan senjata dan tidak lagi mentadbir Gaza.
Terdahulu, media melaporkan kenyataan bersama itu yang dikeluarkan selepas persidangan peringkat tinggi di PBB, turut mengutuk serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, selain menuntut pembebasan semua tebusan yang masih ditahan.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, menyifatkan langkah itu sebagai bersejarah memandangkan ia kali pertama kuasa Arab utama secara terbuka menentang Hamas dan menggesa kumpulan itu dilucutkan kuasa.
Deklarasi itu menyeru Hamas menyerahkan senjatanya kepada Pihak Berkuasa Palestin, sebagai sebahagian daripada usaha untuk penyelesaian dua negara.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Jemaah Menteri juga sudah meminta Menteri Luar untuk memberi Kenyataan Menteri di Dewan Rakyat pada minggu depan.
“Kemungkinan antara Isnin ke Rabu. Itu saya percaya akan menjawab dengan lebih menyeluruh, namun pendirian kerajaan tidak berubah,” katanya. – BH
