ISLAM QALA, Herat (Afghanistan): Ribuan rakyat Afghanistan yang mencari rezeki dan menumpang hidup di Iran tiba di kem transit di bandar sempadan ini setiap hari selepas dipaksa pulang oleh kerajaan negara jiran itu dalam operasi besar-besaran pasca perang Iran-Israel, bulan lalu.
Kepulangan mereka membawa bersama pelbagai kisah duka berikutan pengalaman buruk yang dilalui ketika ditahan pihak berkuasa Iran sebelum dihantar ke pintu sempadan di Islam Qala, di sini.
Dijangkakan lebih 500,000 pelarian Afghanistan dijangka menyeberangi pintu sempadan Islam Qala untuk kembali ke tanah air dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Sebahagian daripada pelarian mendakwa diberikan layanan yang tidak sepatutnya, termasuk dipukul dan didera oleh pihak berkuasa Iran, selepas ditangkap kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan atau permit untuk berada di negara berkenaan.
Seorang pelarian, Sameer Mohamed Yassin, 33, bersama isteri dan dua anak sudah bermastautin dan bekerja lebih 10 tahun di Iran sebelum ditangkap oleh pihak tersebut, baru-baru ini.
Ketika dalam tahanan, mereka dikenakan pelbagai tekanan dan adakalanya dipukul dan didera semata-mata untuk mendapatkan maklumat dan pengakuan.
“Kami dilayan dengan cara yang tidak sepatutnya sedangkan hanya menumpang mencari rezeki dan turut membantu memajukan ekonomi negara Iran. Kami tidak melakukan apa-apa kesalahan atau melanggar undang-undang negara mereka,” katanya ketika ditemui di ZP Transit Centre Herat, di sini.
Seorang lagi pekerja, Medina Mohamad Zehid, 30, berkata, sejurus ditangkap dia dan anaknya dibawa ke balai polis dan dilayan dengan baik, namun kemudian nasibnya berubah apabila diberikan layanan yang teruk, termasuk dimarahi, sering diugut dan adakalanya dipukul.

Ibu tunggal itu dan dua anaknya tinggal dan bekerja di sebuah bandar di Iran sejak beberapa tahun lalu selepas berpisah dengan suaminya yang kini menetap di Kabul.
“Saya akan pulang ke Kabul, tetapi setakat ini saya tidak pasti bagaimana hendak mencari nafkah untuk bagi menyara anak-anak dan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Gabenor Daerah Kohsan, Mawlawi Abdul Ghani Kamil menjangkakan lebih 500,000 rakyat Afghanistan yang menjadi pelarian atau bekerja di Iran akan pulang ke negara ini melalui pintu sempadan Islam Qala dalam tempoh beberapa bulan ini.
Lebih 1,500 rakyat kami dipaksa meninggalkan Iran setiap hari sejak minggu lalu dan jumlah itu dijangka terus meningkat dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Kelmarin agensi berita Bakhtar milik kerajaan Taliban melaporkan lebih 1,500 keluarga pelarian Afghanistan pulang ke tanah air dari Iran dan Pakistan dalam tempoh sehari.
Daripada jumlah keseluruhan 1,576 keluarga yang pulang ke Afghanistan pada Sabtu, 81 keluarga kembali dari Pakistan, manakala baki 1,495 keluarga dari Iran.
Sementara itu, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang mengadakan misi kemanusiaan di Afghanistan, turut mengagihkan pek makanan panas kepada 2,300 pelarian yang baru tiba di Islam Qala dari Iran.
MyCARE dengan sokongan Pasaraya Econsave Cash & Carry turut menghulurkan bantuan wang tunai RM200 (3,000 Afghani) kepada pelarian tersebut sebagai wang saku kepada mereka dipaksa meninggalkan Iran dalam keadaan sehelai sepinggang.
Pelarian terbabit bersama keluarga mereka ditempatkan di kem transit yang disediakan oleh kerajaan Afghanistan dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan Program Makanan Sedunia (WFP) di Islam Qala sebelum dihantar ke kampung halaman masing-masing. – Majestic
