Irmohizam raih MBA di Scotland, lengkapkan ijazah sarjana keenam

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Dato’ Sri Dr Haji Irmohizam Ibrahim berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dengan Kepujian Cemerlang daripada University of the West of Scotland (UWS), sekali gus melengkapkan ijazah sarjana keenam beliau.

Ijazah itu diterima pada Majlis Konvokesyen UWS yang berlangsung di Paisley Abbey, Scotland pada 9 Julai lalu.

UWS merupakan antara universiti yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan tersenarai dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings.

Pencapaian terbaharu itu menjadikan Irmohizam kini memiliki enam ijazah sarjana, selain satu Ijazah Sarjana Muda dan tiga Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Beliau juga sedang menyambung pengajian PhD keempat dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di City University Malaysia.

Menurut Irmohizam, dunia hari ini berubah dengan pantas, khususnya melalui perkembangan kecerdasan buatan (AI), perubahan ekonomi global dan cabaran geopolitik.

Justeru, beliau berpandangan pemimpin perlu terus menambah ilmu, meningkatkan kemahiran dan bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan bagi memastikan organisasi kekal berdaya saing.

Sebagai Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, beliau memimpin usaha memperkukuh organisasi melalui inovasi, kerjasama strategik dan pembangunan profesional.

Irmohizam yang juga Ahli Lembaga Pengarah World Trade Centers Association (WTCA) berkata, usaha menyambung pengajian adalah pelaburan untuk memperkukuh kepimpinan serta menyumbang kepada pembangunan industri acara perniagaan dan ekonomi negara.

Beliau berharap kejayaan itu dapat menjadi inspirasi kepada golongan profesional, pemimpin korporat dan anak muda untuk mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat demi meningkatkan keupayaan diri serta menyumbang kepada pembangunan negara. – MAJESTIC

More From Author

Onn Hafiz berjaya transformasikan Johor

Belia Kluang sokong calon BN di Mahkota, Mengkibol