KLUANG : Dakwaan perlantikan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor sebagai Timbalan Exco sebagai satu pembaziran wang rakyat adalah tidak berasas serta sempit.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Syed Hussien Syed Abdullah berkata, dakwaan bekas ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz itu adalah tidak tepat dan melihat isu itu secara terlalu sempit.
Tegasnya, perlantikan Timbalan Exco adalah bagi memperkukuhkan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri, khususnya dalam memastikan pelaksanaan dasar, penyelarasan program, pemantauan projek serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Jelasnya, negeri Johor kini sedang bergerak pantas sebagai negeri peneraju ekonomi negara melalui agenda Maju Johor 2030 dan apabila pelaburan semakin meningkat, pembangunan bertambah pesat dan pelbagai inisiatif kebajikan rakyat sedang dilaksanakan, beban tugas setiap EXCO akan bertambah.
“Oleh itu, penambahan kapasiti kepimpinan adalah satu keperluan pentadbiran, bukannya pembaziran.
“Apa yang lebih penting bukanlah berapa jawatan diwujudkan, tetapi sejauh mana jawatan tersebut memberi nilai tambah kepada rakyat melalui penyelesaian masalah lebih cepat, pelaksanaan projek lebih cekap dan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Syed Hussien lagi, sekiranya pelantikan Timbalan Exco ini mampu mempercepatkan kelulusan projek, menarik lebih banyak pelaburan, meningkatkan peluang pekerjaan serta memastikan kebajikan rakyat dengan lebih baik, maka manfaatnya jauh mengatasi kos pentadbiran yang terlibat.
Ujarnya, kerajaan Negeri Johor sentiasa mengamalkan prinsip akauntabiliti dan setiap perbelanjaan perlu dipertanggungjawabkan kepada rakyat.
“Daripada terus memainkan persepsi negatif, adalah lebih baik semua pihak memberikan ruang kepada pasukan pentadbiran negeri membuktikan prestasi mereka. Rakyat akan menilai berdasarkan hasil kerja, bukan sekadar retorik politik,” katanya. – MAJESTIC
