JOHOR BAHRU: Datuk Onn Hafiz Ghazi berjaya mentransformasikan negeri itu sepanjang lebih empat tahun menerajui kerajaan negeri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, itu merupakan pencapaian Menteri Besar Johor itu termasuk berjaya menarik pelaburan luar negara.
“Dalam tempoh kira-kira empat tahun tiga bulan pentadbiran Onn Hafiz, Johor berjaya menarik pelaburan berjumlah RM276 bilion, termasuk RM110 bilion yang direkodkan tahun lalu, sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi pelabur terhadap Johor.
“Apabila pelaburan masuk, perniagaan dan sektor industri berkembang. Apabila industri berkembang, ia memerlukan tenaga kerja. Sebab itu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) adalah masa depan anak-anak Johor supaya mereka boleh bekerja dan menetap di negeri sendiri,” katanya dalam program Program Apa Khabar Siswa? di Johor di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurutnya, pencapaian itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil perancangan yang tersusun serta kepimpinan yang mempunyai visi jelas.
“Masa depan Johor sangat cerah kerana semua ini tidak jatuh dari langit. Ia dirancang dengan teliti. Sebab itu jangan salah pilih. Pilihlah pemimpin yang merancang untuk masa depan rakyat,” katanya.- MAJESTIC
