KUALA LUMPUR, 22 Julai – World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) terus memperkukuh tanggungjawab sosial korporatnya apabila menyumbangkan lebih 4,000 naskhah buku kepada Penjara Kajang bagi menyemarakkan budaya membaca serta membantu proses pemulihan dan pembangunan sahsiah penghuni institusi berkenaan.
Sebanyak 4,318 buah buku berjaya dikumpulkan menerusi Kempen Sumbangan Buku (Book Donation Drive) yang memasuki tahun ketiga penganjurannya.
Buku-buku pelbagai genre termasuk keagamaan, novel, biografi, komik, buku rujukan dan resipi itu diserahkan bersama tiga unit rak buku bagi memastikan bahan bacaan dapat dimanfaatkan secara lebih sistematik oleh penghuni Penjara Kajang.

Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Dato’ Sri Dr. Irmohizam Ibrahim, berkata inisiatif berkenaan berlandaskan kepercayaan bahawa setiap individu berhak diberikan peluang untuk memperbaiki diri dan membina masa depan yang lebih baik.
“Kami percaya bahan bacaan mampu membuka minda, menambah ilmu serta memberi inspirasi kepada penghuni Penjara Kajang untuk terus memperbaiki kehidupan mereka. “
“Kami juga berharap usaha ini dapat menggalakkan lebih ramai pihak tampil menyokong dan menyumbang kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Kempen itu diadakan bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung di WTCKL dari 29 Mei hingga 7 Jun lalu, dengan tiga lokasi pengumpulan buku disediakan bagi memudahkan orang ramai menyumbangkan bahan bacaan.
WTCKL turut merakamkan penghargaan kepada pihak PBAKL atas sokongan dalam mempromosikan kempen tersebut menerusi platform media sosial rasmi sehingga berjaya meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan berkongsi ilmu.
Sambutan menggalakkan yang diterima mencerminkan semangat rakyat Malaysia untuk terus menyumbang kepada masyarakat melalui pendidikan dan pembacaan. – MAJESTIC
