PM luang masa berkempen calon PH Nazri Kassim

AMPANGAN, 23 Julai — Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Muhammad Nazri Kassim menerima suntikan semangat apabila kempen beliau dimulakan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turun padang bertemu penduduk di kawasan berkenaan hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan hadir pada program Santai Petang Bersama Warga Ampangan sempena kempen Pilihan Raya Dewan Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

Ketibaan Presiden PKR itu disambut Muhammad Nazri sebelum mereka meluangkan masa minum petang bersama penduduk di Medan Selera Ampangan, selain beramah mesra dan menyampaikan ucapan kepada orang ramai yang hadir.

Dalam ucapannya, Anwar menyeru rakyat Negeri Sembilan agar terus memberikan mandat kepada Pakatan Harapan bagi memastikan kestabilan politik negeri dan membolehkan pentadbiran negeri bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, telah menunjukkan prestasi yang baik sepanjang mentadbir negeri dan rakyat perlu membuat pilihan yang tepat demi kesinambungan pembangunan.

“Saya nak mohon kerjasama kawan-kawan supaya politik kita stabil, negeri kuat, satu hala dan satu tujuan. Elakkan penyelewengan serta sentiasa jaga kepentingan rakyat.

“Buat pilihan yang baik dan bawa mesej Harapan supaya pentadbiran negeri dapat terus selari dengan Kerajaan Persekutuan. Kita mahu lakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa berusaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, namun mengakui masih terdapat beberapa perkara yang perlu ditambah baik.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan sentiasa bersedia menerima teguran yang membina bagi memperkukuh mutu pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau turut menegaskan kerajaan negeri mengutamakan tadbir urus yang telus dalam setiap projek pembangunan serta memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara langsung oleh rakyat.

Sebagai contoh, katanya, projek mendalamkan beberapa sungai di sekitar Ampangan dilaksanakan menerusi kaedah yang memberi pulangan kepada kerajaan negeri apabila hasil jualan pasir digunakan semula untuk membiayai kerja-kerja berkenaan.

“Kalau dulu kontraktor korek pasir, dia ambil dan jual untuk keuntungan sendiri. Sekarang kita minta mereka korek pasir, tetapi hasilnya dipulangkan kepada kerajaan untuk manfaat rakyat. Itu bezanya.

“Rakyat marah kepada amalan penyelewengan. Berbilion ringgit wang negara diselewengkan, tetapi masih ada yang mempertikaikan perkara itu,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, Anwar mengingatkan pengundi supaya membuat pertimbangan sewajarnya dalam memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan mewakili mereka, kerana pilihan itu akan menentukan hala tuju pembangunan dan kebajikan rakyat pada masa depan.

More From Author

WTCKL sumbang lebih 4,000 buku kepada Penjara Kajang