CYBERJAYA, 20 Jun — Sekolah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim (SIGS) mencatat kejayaan membanggakan pada Malaysia International Wind Festival (MIWFest) 2026 apabila meraih pengiktirafan tertinggi dalam dua kategori utama pertandingan itu, baru-baru ini.
Dalam saingan sengit yang berlangsung di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya itu, pasukan Drum Battle sekolah berkenaan membuktikan kehebatan luar biasa apabila muncul sebagai pasukan terbaik dengan menduduki tempat pertama keseluruhan, sekali gus membawa pulang Anugerah Emas.

Kecemerlangan SIGS terus memuncak apabila pasukan Marching Field Parade bagi kategori Scholastic B Division 2A Class turut melakar kejayaan apabila dinobatkan sebagai juara, selain menerima Anugerah Perak.
Berdasarkan keputusan rasmi pertandingan yang dianjurkan oleh Persatuan Pancaragam Konsert & Kawad Malaysia (MCMBA) itu, kedudukan carta menyaksikan SIGS Primary Band menamatkan saingan di kedudukan teratas, mengetepikan cabaran hebat daripada Kuen Cheng 1 Wind Band selaku naib juara dan SSP Cadet Band di tempat ketiga.

Kejayaan berganda itu disifatkan sebagai hasil usaha berterusan tanpa henti daripada tenaga pengajar, guru-guru serta sokongan padu persatuan ibu bapa yang banyak berkorban dari segi masa, tenaga dan kewangan dalam memastikan persiapan terbaik buat pasukan berkenaan.
Pencapaian berprestij pada festival tahunan anjuran MCMBA itu sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan SIGS sebagai antara sekolah yang konsisten menyerlah dalam arena pancaragam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Kejayaan ini melayakkan pasukan SIGS Primary Band bertanding mewakili negara untuk ke North Eastern Wind International Festival (newFrst) 2026) di Nakhon Ratchasima, Thailand pada 13-17 Oktober ini.
Selain itu, kemenangan ini diharap menjadi pemangkin serta sumber inspirasi kepada generasi muda dan murid-murid lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang kokurikulum. – MAJESTIC
