Kaum Cina tak terpinggir di Kluang

KLUANG: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah meminggirkan masyarakat Cina di daerah ini, malah menyantuni semua lapisan masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah berkata, dakwaan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi membenci kaum Cina hanya kerana tidak mahu bersama DAP dalam mentadbir negeri Johor adalah tidak berasas sama sekali dan ia terlalu jauh daripada keadaan sebenarnya.

Sebagai pemimpin diperingkat bawahan, pihaknya sentiasa diingatkan oleh Onn Hafiz agar tidak sesekali meminggirkan mana-mana kaum dalam negeri Johor ini dalam apa juga aktiviti kebajikan penduduk setempat.

Kelebihan beliau yang fasih berbahasa Mandarin banyak memudahkannya untuk memahami setiap aduan disampaikan dan dalam masa sama mereka juga mudah menerima penjelasan atau apa juga tindakan yang akan dilakukan.

“Secara hakikatnya mereka yang membawa sentimen kerajaan BN Johor benci kepada masyarakat Cina adalah kerana mereka tidak melihat realiti sebenar kehidupan rakyat di negeri ini.

“Sebutlah apa juga bantuan yang diberikan kerajaan Johor, tiada satu pun ia meminggirkan mana-mana kaum samada Melayu, Cina, India termasuk golongan Orang Asli di negeri ini,”katanya.

Syed Hussei berkata demikian selepas mengedarkan Kuih Chang di Rumah Orang-Orang Tua di Jalan Haji Manan di sini.

Beliau turut mengharapkan sentimen seperti ini tidak terus dibesarkan lagi kerana ia mampu merosakkan perpaduan kaum yang telah terbina sejak sekian lama. – MAJESTIC

More From Author

JETP agenda berani, berpandangan jauh

SIGS raih kejayaan cemerlang di MIWFest 2026