JOHOR BAHRU: Pasangan duda dan janda ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah bilik hotel di Ulu Tiram di sini semalam.
Pasangan tersebut ditahan penguat kuasa dalam operasi cegah maksiat antara pukul 11 malam hingga 2 pagi.
JAINJ dalam kenyataan memberitahu, lelaki yang berusia 50-an dan sudah lima tahun menduda itu ditangkap berkhalwat dengan wanita yang juga janda berusia 30-an pada pukul 1 pagi.
“Sebaik tiba di bilik hotel pasangan berkenaan, pintu diketuk, tetapi tidak dibuka walaupun ketika itu pendingin hawa terpasang disyaki ada orang di dalamnya.
“Selepas lapan minit, pintu dibuka oleh seorang lelaki yang hanya berseluar panjang dan tidak berbaju yang bertanya siapa kami.
“Penguat kuasa terus menolak pintu bilik dan memperkenalkan diri seterusnya masuk untuk membuat pemeriksaan sebelum mendapati pintu tandas tertutup dan berkunci dari dalam,” maklum kenyataan tersebut.
Menurut JAINJ, ketika ditanya siapa di dalam tandas, lelaki berkenaan seolah-olah ketakutan dan penguat kuasa terus mengetuk pintu tandas dan seorang wanita menyahut dari dalam tandas.
Selepas pintu tandas dibuka separuh, wanita itu minta dihulurkan tuala dan apabila penguat kuasa wanita memeriksa dalam tandas mendapati janda berkenaan hanya memakai tuala yang diberikan itu.
“Hasil soal siasat, pasangan ini mengaku bukan suami isteri. Kedua-duanya bekerja di Kota Tinggi.
“Pada hari kejadian, lelaki itu menjemput wanita pulang kerja pada pukul 10 malam dan pergi makan. Mereka menaiki kereta lelaki dari Kota Tinggi dan seterusnya masuk ke bilik hotel dalam pukul 12.30 tengah malam.”
Tambah JAINJ, apabila ditanya tujuan menginap di hotel, mereka memberi alasan untuk mandi selepas mereka berjalan berdua-duaan.
Pasangan itu mendakwa sudah berkenalan lebih setahun sejak mula kenal di tempat kerja wanita, namun apabila ditanya adakah kedua-duanya hendak bernikah, lelaki itu memaklumkan mereka hanya berkawan dan belum ada hasrat hendak bernikah.
Pasangan itu kemudian ditahan kerana berkhalwat mengikut Seksyen 27(1)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.- Majestic
