Bagasi berisi syabu RM258,550 terbongkar

ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki dicekup disyaki menyimpan dadah jenis syabu lebih lima kilogram dalam serbuan di Gelang Patah, di sini bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, M Kumarasan berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, pukul 5.20 petang pada 26 Januari lalu

Menurut beliau, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan bersama-sama sebuah kenderaan di kawasan Gelang Patah dan hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan sebuah bagasi yang mengandungi dadah.

“Hasil rampasan mendapati terdapat 5,171.35 gram syabu dengan nilai anggaran RM258,550 selain sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang turut disita dengan nilai dianggarkan RM12,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan bagi kes ini dianggarkan sebanyak RM271,050.

Tambah beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine manakala semakan rekod lampau turut menunjukkan suspek mempunyai rekod berkaitan dadah.

Suspek kini direman bermula 27 Januari hingga 7 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Pihaknya menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline JSJN di 07-511 3622 atau 07-511 4486.- Majestic

More From Author

Lelaki lima tahun duda ditangkap khalwat dengan janda

8 ajaran sesat masih bertapak di Johor