Hati-hati, sengatan obor-obor boleh bawa maut

JOHOR BAHRU: Pejabat Perikanan Negeri Johor (PPNJ) mengingatkan orang ramai yang mengunjungi perairan Mersing atau yang melakukan aktiviti air supaya berhati-hati selepas dikesan kehadiran obor-obor.

Pengarah Perikanan Negeri Johor, Rosmawati Ghazali berkata, pihaknya sudah mengeluarkan amaran supaya semua pihak berhati-hati bagi mengelak terkena sengatan obor-obor yang berbahaya itu.

“Kami menerima laporan pengesanan kehadiran obor-obor di perairan Mersing. Semua pengunjung dinasihatkan lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti riadah pantai atau snorkeling atau selam skuba dan memakai pakaian bertutup keseluruhan atau bersesuaian bagi mengelakkan terkena serangan obor-obor.

“Kita ingin meminta orang ramai berhati-hati dengan kehadiran obor-obor di pesisir pantai dan laut. Jangan sentuh dan berenang di kawasan yang terdapatnya spesis obor-obor ini,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), hari ini.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan PPNJ memaklumkan, obor-obor yang muncul di perairan negeri ini adalah spesies Physalia physalis juga dikenali sebagai Protuguese Man Of War Jellyfish.

Menurut PPNJ, obor-obor dan memiliki sengatan yang berbisa dan boleh membawa kematian.

“Haiwan ini mempunyai ribuan sel penyengat yang boleh menyebabkan rasa sakit yang melampau jika terkena pada badan.

“Haiwan ini biasanya dijumpai di Lautan Pasifik, bagaimanapun, sejak kebelakangan ini ia turut dikesan di perairan Thailand, Kuantan, Pulau Tioman dan Sabah,” maklumnya lagi.

Menurutnya, haiwan yang ditemui di perairan Mersing itu mungkin disebabkan hanyut dibawa arus deras pada musim tengkujuh yang melanda pantai timur.

PPNJ memberitahu, tidak ada antivenom atau penawar untuk bisa yang disebabkan oleh sengatan Physalia dan rawatannya hanya berbentuk ubat penahan sakit dan melegakan simptom.

“Jika terkena sengatan obor-obor ini, orang ramai dinasihatkan supaya bergegas ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan secepat yang mungkin.

“Jika orang ramai menjumpai obor-obor ini di kawasan yang lain, sila maklumkan kepada DOF melalui Pejabat Perikanan Daerah yang terdekat supaya hebahan dan larangan dapat dibuat dengan segera,” tambah kenyataan itu.- Majestic

More From Author

Dua penuntut UTM dipilih jadi imam Tarawih di Osaka

Saya seorang survivor: Kanser, cabaran global dan harapan yang tidak pernah padam