Dua penuntut UTM dipilih jadi imam Tarawih di Osaka

JOHOR BAHRU: Dua penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dipilih menjadi imam solat Tarawih di Osaka, Jepun pada bulan Ramadan ini.

UTM dalam satu kenyataan memaklumkan, dua penuntut itu menerima jemputan rasmi untuk mengimamkan solat Tarawih bermula 17 Februari hingga 23 Mac ini di Osaka.

“Muhammad Danish Arman Shah, 23, merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia) dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan manakala Iman Solehin Zulyadi, 22, penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, sudah berlepas ke Osaka malam tadi.

“Pemilihan ini dilihat sebagai pengiktirafan terhadap pendekatan pendidikan holistik UTM yang menekankan keseimbangan antara kecemerlangan akademik, kekuatan rohani dan pembentukan sahsiah mahasiswa,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Sebagai antara graduan terbaik 5 Excellence Track Programme (5ETP)- Teras TeknoHafiz, mereka dibentuk menerusi platform strategik universiti yang menyepadukan penguasaan ilmu profesional, penghayatan al-Quran dan pembangunan keperibadian berteraskan adab.

Pendekatan itu bagi memastikan mahasiswa bukan sahaja kompeten dalam bidang kepakaran masing-masing, malah memiliki disiplin diri, integriti serta kefahaman tanggungjawab sosial yang tinggi.

Penglibatan di Jepun juga selari dengan aspirasi UTM Ascend 2030 yang menekankan pembangunan graduan berilmu, beradab dan berwawasan global.

Pihak universiti memberi penekanan terhadap nilai hormat, amanah, tanggungjawab, kesederhanaan serta keupayaan berinteraksi secara profesional dalam persekitaran pelbagai budaya.

“Dalam konteks masyarakat minoriti Muslim di Jepun, peranan sebagai imam bukan sekadar memimpin solat sunat Tarawih, malah menuntut kepimpinan rohani yang berhemah, komunikasi antara budaya yang berkesan serta akhlak terpuji dalam setiap interaksi,” jelas UTM.

Penglibatan itu turut mencerminkan komitmen UTM melahirkan graduan yang mampu berperanan sebagai duta ilmu, budaya dan nilai sejagat di peringkat antarabangsa.

“Selain memimpin ibadah sepanjang Ramadan, kedua-dua penuntut berkenaan dijangka menjadi contoh sahsiah dan disiplin yang mencerminkan imej Islam serta reputasi universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang membina insan seimbang.

“UTM sentiasa menyokong inisiatif yang memperkukuh peranan graduan sebagai khalifah yang membawa manfaat kepada masyarakat dan kemanusiaan sejagat, selari dengan pelaksanaan agenda UTM Ascend 2030.

“Amanah ini diharapkan dapat digalas dengan baik sekali gus mengharumkan nama UTM di persada antarabangsa,” menurut UTM.- Majestic

More From Author

Mayat Putra Aniq ditemukan terdampar di pantai

Hati-hati, sengatan obor-obor boleh bawa maut