JAKARTA: Tahap sokongan terhadap Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, mencatat sedikit penurunan berbanding awal 2025, dipercayai berpunca daripada kebimbangan terhadap kmerosotan ekonomi negara.
Ramai berpendapat pemimpin negara yang paling ramai penduduk di Asia Tenggara itu agak boros berbelanja.
Menurut tinjauan yang dikeluarkan pada 8 November oleh Indikator Politik, kira-kira 78 peratus rakyat Indonesia yang ditemubual menyatakan mereka berpuas hati atau sangat berpuas hati dengan prestasi Prabowo sejak beliau memegang jawatan lebih setahun lalu.
Angka itu bagaimanapun menurun sedikit berbanding 79 peratus yang direkodkan dalam tinjauan yang sama pada Januari lalu.
Tinjauan terkini itu membabitkan 1,220 responden dari seluruh Indonesia pada Oktober, dengan margin ralat 2.9 peratus.
Indonesia masih berdepan cabaran untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, meskipun Prabowo sudah melaksanakan pelbagai rancangan perbelanjaan besar.
Antaranya termasuk makanan percuma di sekolah dan penubuhan tabung kekayaan kedaulatan negara (sovereign wealth fund).
Bekas jeneral itu memegang jawatan selepas dipilih dengan majoriti yang besar, namun beliau terpaksa menangani isu kehilangan pekerjaan dalam sektor utama serta berdepan halangan dalam perdagangan global.
Kerajaan beliau juga menghadapi protes ganas secara meluas pada Ogos lalu berikutan cadangan keistimewaan untuk ahli Parlimen.
Sejak itu, Prabowo cuba meredakan ketidakpuasan hati rakyat melalui gelombang pengumuman rangsangan ekonomi, termasuk program pekerjaan khusus untuk pelajar. – AGENSI
