ISABELA: Lebih 100,000 penduduk di kawasan timur dan utara Filipina hari ini dipindahkan selepas Taufan Fung-wong bertambah kencang menjadi ‘taufan super’ dan dijangka membadai pantai lewat hari ini.
Ribut itu dijangka membawa hujan lebat, angin kencang yang memusnahkan serta ombak besar dan ribut kuat di kawasan pesisir selama beberapa hari lagi.
Amaran ribut juga dikeluarkan di sebahagian besar negara itu, dengan Isyarat No 5 iaitu tahap amaran tertinggi, di tenggara Luzon, termasuk Catanduanes serta kawasan pantai Camarines Norte dan Camarines Sur.
Metro Manila dan kawasan sekitarnya pula berada di bawah Isyarat No 3.
Dengan kelajuan angin berterusan 185 kilometer sejam (km/j) dan tiupan maksimum sehingga 230 km/j, Taufan Super Fung-wong, atau lebih dikenali sebagai Uwan, dijangka melanda daratan di wilayah Aurora, Luzon tengah, seawal malam ini.
Ketika ini, beberapa bahagian Visayas Timur sudah pun mengalami gangguan bekalan elektrik.
Imej yang dikongsi oleh Pasukan Pengawal Pantai Filipina di Camarines Sur pula menunjukkan, penduduk berpindah awal menaiki trak selepas keluar dari bot penumpang panjang dan sempit, sambil membawa beg dan barangan peribadi mereka.
Menurut pihak berkuasa penerbangan awam, lebih daripada 300 penerbangan domestik dan antarabangsa juga dibatalkan.
Sebuah video yang dikongsi oleh ABS-CBN News di platform X turut menunjukkan keadaan ribut di wilayah Catanduanes, dengan langit mendung, ranting pokok bergoyang kuat akibat angin dan hujan lebat yang menimpa kawasan itu dengan bunyi kuat.
Fung-wong pernah melanda Filipina hanya beberapa hari selepas negara itu ditimpa Taufan Kalmaegi, meragut 204 nyawa dan meninggalkan kemusnahan besar sebelum ia bergerak ke Vietnam, di mana lima lagi maut dan komuniti pesisir rosak teruk.
Di kampung nelayan Vung Cheo di Vietnam tengah, kapal-kapal nelayan dilihat berlonggok dalam keadaan musnah di tepi jalan utama, manakala ratusan ladang ternakan udang kara turut musnah atau rosak teruk akibat ribut itu. – REUTERS
