KUALA LUMPUR: Pelawak, Atu Zero mengakui tersinggung dengan kenyataan seorang pemimpin politik di Kedah apabila mengumpamakan sokongan rakyat Sabah boleh dibeli dengan roti.
Ini berikutan Atu atau nama sebenarnya, Sharif Kunal Doli Sharif akan membawa pulang roti Gardenia dari Semenanjung apabila pulang ke Sabah untuk diberikan kepada penduduk setempat.
Dalam hantaran di Instagramnya, Atu berkata, perkara itu sudah menjadi kebiasaannya bersama isteri, Shafeeqa Johari.
“Apabila ada orang dewasa yang mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya, hati kecil ini terasa terguris dengan kenyataan yang tidak wajar keluar daripada mulut golongan yang kononnya bijak pandai.
“Saya boleh maafkan kamu, tetapi bagaimana pula dengan saudara-saudara lain yang masih terasa dengan kenyataan sedemikian?” tulisnya seperti dilaporkan Harian Metro.
Dalam pada memuat naik hantaran teguran itu, Atu sempat berseloroh.
“Selalu saya nasihatkan anak-anak saya ‘Ingat nak… jangan merendahkan orang lain lebih-lebih lagi mereka yang lebih tinggi… 198 sentimeter misalnya,” tulisnya.
Terdahulu, seorang pemimpin politik memberikan ucapan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebuah negeri dan menyatakan bahawa ‘Orang Sabah itu, kempen dia beri roti Gardenia saja’.
Bagaimanapun, pemimpin terbabit kemudian memohon maaf dan menarik balik kenyataannya selepas mendapat kritikan kerana dilihat seolah-olah merendah-rendahkan rakyat Sabah. – HARIAN METRO
