Israel sudah serahkan 30 mayat warga Palestin

GAZA: Kompleks Perubatan Nasser mendakwa Israel sudah menyerahkan semula 30 lagi mayat warga Palestin ke Gaza hari ini sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran berterusan di bawah pelan gencatan senjata yang dipersetujui dengan perantara Amerika Syarikat (AS).

Katanya, mayat 30 tahanan Palestin sudah diterima daripada pihak Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran berkenaan.

Di bawah perjanjian gencatan senjata itu, Israel dikehendaki memulangkan 15 mayat rakyat Palestin bagi setiap tebusan Israel yang sudah meninggal dunia dan dikembalikan oleh Hamas.

Pemindahan pada hari ini itu menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang sudah dikembalikan ke Gaza meningkat kepada 225 orang.

Difahamkan, kesemua mayat berkenaan dibawa ke Hospital Nasser oleh pasukan Palang Merah selepas diserahkan oleh pihak Israel, seperti yang dilakukan dalam pertukaran terdahulu.

Di bawah pelan gencatan senjata bertarikh 10 Oktober, Hamas sebelum ini sudah memulangkan 20 tebusan yang masih hidup yang ditahan sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023.

Selain itu, Hamas juga mula menyerahkan mayat 28 tebusan yang disahkan sudah meninggal dunia, namun proses berkenaan berjalan perlahan sehingga menimbulkan kemarahan rakyat Israel.

Setakat ini, Hamas sudah menyerahkan 15 mayat tebusan warga Israel serta dua pekerja asing, masing-masing seorang warga Thailand dan Nepal yang turut diculik dalam serangan pada 7 Oktober lalu.

Hamas turut memulangkan sebahagian daripada mayat tebusan Israel yang sebelum ini sudah ditemui serta satu mayat tidak dikenal pasti yang tidak termasuk dalam senarai 28 individu hilang.

Menurut laporan, terdapat 10 lagi mayat tebusan serangan 7 Oktober yang dipercayai masih berada di Gaza, selain seorang lagi individu yang hilang sejak 2014.

Semua mangsa adalah warga Israel kecuali seorang warga Tanzania dan seorang warga Thailand.

Israel menuduh Hamas melanggar perjanjian gencatan senjata, manakala keluarga tebusan menuntut tindakan lebih tegas bagi memaksa kumpulan itu mematuhi syarat perjanjian.

Bagaimanapun, Hamas menegaskan pihaknya masih komited terhadap pelan gencatan senjata berkenaan, namun menghadapi kesukaran mencari baki mayat berikutan dua tahun serangan udara Israel yang memusnahkan banyak kawasan di Gaza.

Pasukan penyelamat dari Mesir yang dilengkapi jentera berat turut menyertai operasi mencari dan mengeluarkan mayat mangsa. – AFP

More From Author

Slot mahu Liverpool henti tabiat kalah

Pemilik, pemandu kenderaan Singapura tidak dibenar keluar jika tidak bayar saman VEP – JPJ