Slot mahu Liverpool henti tabiat kalah

LIVERPOOL, England: Pengurus Liverpool, Arne Slot menegaskan skuadnya tidak boleh menjadikan kekalahan sebagai satu kebiasaan selepas juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tewas enam kali dalam tujuh perlawanan terakhir, sekali gus mencetuskan krisis di Anfield.

The Reds kini tewas empat aksi liga berturut-turut menjelang kunjungan Aston Villa ke Anfield awal pagi Ahad ini, selain tersingkir daripada Piala Liga selepas dikejutkan Crystal Palace 0-3 pada pertengahan minggu ini.

Keputusan Slot menurunkan barisan muda ketika kekalahan itu mengundang kritikan, namun beliau mempertahankan tindakannya dengan alasan perlu memberi rehat kepada tonggak utama selepas berdepan siri kecederaan sejak awal musim.

Ketika ini, Alisson Becker, Alexander Isak dan Jeremie Frimpong masih berada dalam senarai kecederaan, manakala Ryan Gravenberch baru kembali menjalani latihan selepas pulih daripada kecederaan buku lali.

Slot turut mengakui perancangannya bukan hanya tertumpu kepada aksi menentang Villa, tetapi juga mengambil kira pertemuan besar menentang Real Madrid di Anfield pada aksi Liga Juara-Juara, Selasa ini serta pertembungan dengan Manchester City hujung minggu depan.

“Ia tiada kaitan dengan kedalaman skuad, tetapi dengan bagaimana kami melalui musim ini dari segi kecederaan dan ketersediaan pemain,” kata Slot pada sidang media praperlawanan hari ini.

“Inilah situasinya. Kami masih mempunyai ramai pemain berkualiti untuk bermain Sabtu, Selasa dan Ahad, tetapi saya perlu menjaga beberapa daripada mereka sebab itu saya buat keputusan untuk tidak menurunkan semua pemain utama.”

Menariknya, selepas lima perlawanan pertama EPL musim ini, Villa ketinggalan 12 mata di belakang Liverpool.

Namun kedua-dua pasukan kini berkongsi jumlah mata yang sama, hanya dipisahkan oleh perbezaan jaringan.

Slot menjadikan kebangkitan Unai Emery bersama Villa sebagai contoh kepada anak buahnya mengenai betapa pantas keadaan boleh berubah dalam liga paling kompetitif di dunia.

Arsenal kini mendahului liga dengan kelebihan empat mata, namun hanya tiga mata memisahkan Bournemouth di tangga kedua dengan Villa di tangga kelapan, membuktikan betapa sengitnya perebutan kedudukan.

“Selain Arsenal, banyak pasukan berkongsi jumlah mata yang hampir sama. Ia menunjukkan betapa sukar dan kompetitifnya EPL,” tegas Slot.

“Biasanya, walaupun kami melalui tempoh sukar, bukan setiap kali kami tewas dalam perlawanan di mana kami sebenarnya cipta lebih banyak peluang berbanding lawan.

“Villa tidak jadikan ia satu kebiasaan dan saya harap kami juga akan lakukan perkara sama.” – AFP

More From Author

Arteta bimbang jadual padat jejas kebajikan pemain

Israel sudah serahkan 30 mayat warga Palestin