Fasa akhir OSIT RTS berjaya

JOHOR BAHRU: Fasa Akhir Ujian Integrasi Sistem di Luar Tapak (OSIT) Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura berjaya dilakukan di Singapura kelmarin.

RTS Operations Sdn Bhd (RTSO) dalam satu kenyataan memaklumkan, kejayaan itu satu pencapaian penting hasil kerjasama erat semua pihak berkepentingan dari Malaysia dan Singapura.

OSIT ialah ujian komprehensif yang menghimpunkan semua komponen utama seperti sistem tren, sistem isyarat, pintu skrin platform dan komunikasi.

“Ini bagi memastikan kesemuanya berintegrasi dan beroperasi dengan lancar sebagai satu rangkaian yang bersatu.

“Ia boleh diibaratkan seperti latihan penuh untuk keseluruhan sistem tren, isyarat, pintu platform dan komunikasi bagi memastikan semuanya berfungsi dengan selamat, boleh dipercayai dan cekap,” menurut hantaran RTSO dalam media sosial, hari ini.

RTSO memberitahu, bermula pada Disember 2024 di Singapore Rail Test Centre (SRTC), program OSIT mencapai beberapa pencapaian penting dengan ketibaan tren pertama pada April 2025 dan ujian dinamik bermula pada Julai lalu.

Pihaknya memaklumkan sejak itu, SRTC menjadi pusat aktiviti pasukan dari Malaysia dan Singapura bekerja untuk menjalankan ujian yang ketat terhadap sistem tersebut.

Pencapaian itu disifatkan bukan sekadar kejayaan teknikal, OSIT adalah bukti komitmen bersama-sama dan persahabatan antara Malaysia dan Singapura dalam memastikan kecemerlangan perkhidmatan yang bakal menghubungkan kedua-dua negara.

Pada masa sama juga menurut kenyataan itu, mencerminkan akauntabiliti yang kukuh, tadbir urus yang telus dan pelaksanaan yang berdisiplin oleh pasukan projek.

“Dengan kejayaan ini, kami kini melangkah yakin ke fasa seterusnya iaitu ujian dan pentauliahan di tapak sebenar,” katanya.

Pihak RTSO juga menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Singapura, Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) Singapura, Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia (APAD), Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) serta pemegang saham SMRT Corporation Ltd dan Prasarana Malaysia Berhad atas panduan strategik dan sokongan padu.

“Kami juga merakamkan penghargaan kepada Pengerusi, Naib Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah RTSO atas kepimpinan dan bimbingan mereka yang berterusan, serta kepada rakan kongsi kami CRRC Corporation Limited, Siemens, Jacobs, MSI Global dan Sapura atas kepakaran dan kerjasama mereka.

“Dan kepada pasukan RTSO, dedikasi mereka dalam membawa OSIT daripada konsep kepada kejayaan telah menjadikan pencapaian ini satu kenyataan.

“Kini kita semakin hampir merealisasikan impian untuk membolehkan penumpang merentasi sempadan dengan lebih mudah dan lancar,” katanya.

RTS Link dijangka memulakan operasi penumpang menjelang Disember 2026, menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands North di Singapura.

Apabila beroperasi kelak, RTS Link akan menggunakan lapan set tren tanpa pemandu, setiap satu terdiri daripada empat gerabak dengan kapasiti membawa lebih 600 penumpang setiap tren.

RTS Link akan mempunyai kapasiti puncak sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap hala. – Majestic

More From Author

Cari nyawa politik dengan fitnah, Amanah Johor didakwa terdesak

Medan Niaga Kg Melayu Majidee berwajah baharu