KUALA LUMPUR: Prinsip meritokrasi menjadi asas kepada proses saringan Unit Pusat Universiti (UPU) dalam menawarkan tempat ke Universiti Awam (UA).
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Azlinda Azman berkata, kaedah itu sudah digunakan sejak sekian lama dalam memilih pelajar mana bersesuaian dengan kursus yang dimohon.
“Saya ingin tegaskan, semua keputusan UPUOnline dijana oleh sistem. Bertahun-tahun kita menggunakan sistem ini berdasarkan pemarkahan merit ditetapkan mengikut kursus atau program yang dimohon.
“KPT juga ingin menolak dakwaan wujudnya kelompongan dalam sistem sedia ada,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas, hari ini yang turut dihadiri, Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.
Azlinda berkata demikian ketika menjawab dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang mempersoalkan keadilan pemilihan kemasukan pelajar ke UA selepas seorang pelajar dari Bukit Mertajam gagal mendapat tempat biarpun memperoleh keputusan cemerlang.
Azlinda berkata, kementerian memberi jaminan kepada semua pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau setaraf, yang memohon melanjutkan pengajian di UA dengan PNGK 4.00 mendapat tempat pengajian.
Beliau berkata, berdasarkan rekod, sejumlah 1,255 calon lepasan STPM dengan PNGK 4.00, iaitu 71 calon dari aliran Sains dan 1,184 pelajar aliran Sastera telah memohon dengan 1,249 individu pun ditawarkan tempat.
Katanya, ada seramai enam calon lagi belum mendapat tempat namun pihaknya sudah berusaha menghubungi kesemuanya bagi menyelesaikan beberapa isu teknikal membabitkan permohonan mereka.
Azlinda juga mengakui, proses saringan UPUOnline bersifat ‘anonymous’ atau tiada nama atau bangsa pemohon yang dipaparkan semasa pemilihan dibuat sebaliknya ia berdasarkan kepada nombor siri permohonan.
“Ya betul, ia berdasarkan kepada permohonan yang bersifat ‘anonymous’, berdasarkan kepada nombor siri permohonan mereka, tapi kalau kita nak dig dive (membuat pemeriksaan teliti), contohnya macam kes ini, kita boleh extract (menarik maklumat).
“Tetapi masa sistem itu berjalan, semuanya telus, sistematik, berstruktur dan tak ada campur tangan manusia di situ kerana beribu-ribu, ratusan ribu (permohonan diterima) kita tak sempat nak pergi satu persatu,” katanya.
