Cederakan OCPD Dang Wangi perbuatan keji, mesti dikecam – Anwar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pihak berkuasa segera menyiasat dan memberkas dalang serta penyerang yang bertanggungjawab mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, hari ini.

Menyifatkan perbuatan itu sebagai keji dan mesti dikecam, Perdana Menteri menegaskan kerajaan sentiasa menghormati hak untuk berhimpun secara aman serta menyatakan pendirian, dan ia dibuktikan dengan konsisten melalui pelbagai himpunan yang diadakan sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya prinsip kebebasan juga menuntut semua pihak untuk bertanggungjawab dan patuh tunduk kepada hukum, adab serta undang-undang.

“Berhimpun secara aman mesti tidak harus disalah guna untuk kepentingan politik sempit dan mencetuskan suasana tidak tenteram dalam kalangan rakyat.

“Keganasan yang disemai melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat,” katanya melalui Facebook hari ini.

Terdahulu, Suzilme dilaporkan cedera (https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/09/1444887/ketua-polis-daerah-dang-wangi-cedera-akibat-dibaling-objek-beberapa) ketika mengawal keadaan sewaktu operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru di sini.

Ia susulan kekecohan akibat rempuhan penduduk yang mendesak untuk masuk ke kawasan operasi.
Berdasarkan pemerhatian, Suzilme dilihat mengalami luka berdarah pada bahagian muka.

Terdahulu, operasi pengosongan bangunan kecoh seketika apabila penduduk mula mendesak pihak berkuasa membenarkan mereka masuk ke kawasan perumahan berkenaan.

Operasi berkenaan dilaporkan diketuai oleh bailif mahkamah dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan, susulan arahan mahkamah bagi melaksanakan proses perobohan struktur rumah di kawasan berkenaan. – BH

More From Author

Tiga ditahan kes kecederaan OCPD Dang Wangi

Lebih 10,000 penduduk Palestin dipindah secara paksa