GAZA: Lebih 10,000 penduduk Palestin dipindahkan secara paksa sejak semalam dengan kebanyakannya menuju ke Khan Younis.
Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric, berkata perpindahan penduduk itu disebabkan tindakan kejam tentera Israel yang mengebom bangunan dengan skala lebih besar.
“Keluarga berkumpul di kawasan terbuka selepas diberi amaran bahawa satu daripada bangunan itu akan diserang, sementara tentera Israel mengarahkan mereka bergerak ke selatan menuju Khan Younis.
“Ramai penduduk Palestin tiada arah tuju kerana semua kawasan adalah tidak selamat. Pada hari ini dan semalam, lebih 10,000 pemindahan berlaku dari kawasan utara ke selatan, kebanyakannya menuju ke arah Khan Younis.
“Kami menegaskan semula di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, orang awam dan infrastruktur awam mesti sentiasa dilindungi dan tidak seharusnya menjadi sasaran. Tapak awam juga tidak boleh digunakan untuk operasi ketenteraan,” katanya menurut laporan Anadolu Ajansi.
Beliau berkata, bantuan kemanusiaan ketika ini tidak mencukupi dan beliau berharap supaya akses bantuan kemanusiaan segera diperluas dan dikekalkan terutama di bahagian utara dan selatan Gaza.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel meragut lebih 64,600 nyawa penduduk Palestin. – AGENSI
