MELAKA: Pekerja penghantar makanan warga Singapura terlepas hukuman gantung sampai mati apabila dipenjara 72 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan membunuh isteri dan anak lelaki tirinya, enam tahun lalu.
Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas tertuduh, Shahrul Nizam Zuraimy, 36, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam pembelaannya.
Hakim itu berkata, berdasarkan laporan patologi dan keterangan sepupu tertuduh, mahkamah berpendapat perbuatan tertuduh mengerat dan membuang bahagian tubuh kedua-dua mangsa di kawasan berbeza seolah-olah untuk mengelak identiti mangsa dikenal pasti pihak berkuasa.
“… kepala kedua-dua mangsa dibungkus dengan teliti dan disembunyikan di atas siling untuk mengelakkan bau dan darah dikesan. Tertuduh juga membuang sebahagian tubuh kedua-dua mangsa di kawasan semak.
“Mahkamah juga mengambil kira tindakan tertuduh membersihkan rumah selepas kejadian sebelum pergi ke Singapura dan ditangkap oleh polis di sana sebelum diserah kepada polis Malaysia.
“Selepas meneliti keseluruhan keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati tertuduh bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan,” katanya.
Tertuduh didakwa menyebabkan kematian Norfazera dan Muhammad Iman Ashraf pada 6 Oktober 2019, antara jam 6 petang hingga 7.30 pagi di sebuah rumah di Taman Merdeka Jaya, dekat Batu Berendam.
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan jika sabit kesalahan membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah dihukum minimum 12 sebatan.
Terdahulu, pendakwaan turut memanggil ibu dan kakak Norfazera memberikan penyataan impak saksi sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.
Suasana hiba apabila ahli keluarga mangsa sebak dan menangis ketika merayu supaya hukuman gantung sampai mati dikenakan atas alasan mengalami trauma berterusan kerana pembunuhan yang dilakukan tertuduh sangat kejam.
Peguam Andrew Lourdes dan Chua Yong Yi merayu tertuduh tidak dihukum gantung kerana sudah insaf dan menyesal apabila mengaku perbuatannya kepada sepupu dan keluarga selepas kejadian, selain berkelakuan baik sepanjang enam tahun dalam tahanan di Penjara Sungai Udang.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan dan Mohd Asri Abd Rahman Sidik memohon hukuman gantung sampai mati dengan mengambil kira kekejaman tertuduh mengerat mayat dan membunuh anak tiri yang berusia 11 tahun, serta menghujahkan supaya pemenjaraan berasingan dikenakan bagi kedua-dua pertuduhan jika tidak dihukum mati.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 36 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan dan berjalan secara berasingan bermula dari tarikh ditangkap 11 Oktober 2019. – BH
