KUALA LUMPUR: Satu jawatankuasa khas diwujudkan di bawah Kementerian Pertahanan bagi menyiasat kes kematian pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, jawatankuasa khas itu akan turut disertai oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Di peringkat Kementerian Pertahanan telah pun mewujudkan jawatankuasa khas, yang juga di dalamnya terdiri daripada KDN dan KKM.
“(Ini) bagi memastikan, (ada pihak) membuat kajian dan juga memastikan supaya laporan lengkap dapat disediakan dengan kadar yang segera,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang meminta penjelasan mengenai perkembangan lanjut mengenai kes kematian Syamsul Haris.
Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi (HKT) selepas selesai menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Johor.
Pada 1 Ogos lalu, PDRM dilapor akan menjalankan siasatan terperinci berkenaan punca kematian Syamsul Haris.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, siasatan menyeluruh termasuk merakam percakapan saksi-saksi dan pegawai perubatan yang terlibat bagi mengenal pasti punca insiden berkenaan.
Pada masa sama, Zambry menegaskan kes kematian yang mendapat perhatian umum itu kini berada di peringkat siasatan, dengan laporan siasatan dijangka diketahui dalam masa terdekat.
“Kebetulan semalam saya telah pergi melawat keluarga Allahyarham dan saya telah mendengar sendiri daripada ibu beliau yang menceritakan tentang keadaan anak beliau dan sebagainya.
“Beliau telah pun memohon secara rasmi supaya dibuat semula, siasatan semula ke atas keadaan anak beliau itu dan perkara ini telah dirujuk kepada Peguam Negara,” katanya lagi. – Majestic
