Tiga maut nahas dua kenderaan dekat Tapah

TAPAH: Tiga maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 328.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini, pagi tadi.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sabarodzie Nor Ahmad, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi itu membabitkan kenderaan jenis Toyota Vios dan Proton X50.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.19 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah dikejarkan ke lokasi.

“Seramai enam individu terbabit dalam kemalangan ini. Seorang mangsa lelaki yang menaiki Toyota Vios mengalami kecederaan.

“Tiga daripada lima lelaki warga emas yang menaiki Proton X50 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan, manakala dua lagi mengalami kecederaan.

“Mangsa yang maut dikenali Chong Ong, 77, Teh Kim Kai, 76, dan Tan Ah Tak, 70,” katanya.

Sabarodzie berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan dan operasi itu tamat pada tengah hari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Johari Yahya mengesahkan kejadian itu.

“Mayat dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. – BH

More From Author

SPRM reman pengurus pertubuhan kemuka dokumen kandungi butir matan palsu tuntutan kira-kira RM1,200

Amanah mahu tanding solo di DUN Kota Iskandar, Skudai