KOTA BHARU: Syarikat Kenari Utara Travel And Tours (Kenari Utara) mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung rakaman video yang memaparkan bas tersebut dipandu dalam keadaan laju sebelum terbalik dan mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi ini.
Pegawai Operasinya Mohd. Nazri Nawi berkata, dia tidak lagi mendapat kebenaran daripada syarikat berkenaan untuk memberikan apa-apa komen berhubung kejadian tersebut.
“Saya minta maaf tetapi syarikat tak beri kebenaran untuk buat apa-apa komen lagi berkaitan kejadian termasuk mengenai video tular,” katanya secara ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Terdahulu seorang pengguna laman sosial yang dikenali sebagai Hanz Hanz memuat naik rakaman kamera papan pemuka sebuah kereta yang memaparkan detik cemas sebelum bas tersebut terbalik.
Rakaman berdurasi 39 saat menunjukkan bas tersebut dipandu dalam keadaan laju sebelum terbalik dan mengorbankan 15 nyawa penuntut UPSI.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, kurang-kurangnya 15 individu dilaporkan maut dalam nahas membabitkan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding di sini awal pagi tadi.
Difahamkan kejadian sekitar pukul 1 pagi itu melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan laporan kemalangan itu melibatkan 48 mangsa.-UTUSAN
