Pemuda UMNO ucap takziah, mohon siasatan terperinci

JOHOR BAHRU:  Pemuda UMNO merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada semua keluarga, waris serta para pelajar yang terlibat dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak, awal pagi tadi.

Naib Ketuanya, Mohd. Hairi Mad Shah menzahirkan perasaan sedih dan terkesan dengan kejadian itu yang telah meragut nyawa serta mencederakan beberapa individu, khususnya para pelajar yang sepatutnya sedang meniti usia harapan dan masa depan.

“Sebagai seorang insan yang turut merasai kehilangan ini, anak-anak muda ini bukan sekadar penuntut ilmu, mereka adalah permata bangsa, harapan negara untuk membina masa depan yang lebih cerah.

“Pemuda UMNO memberikan sepenuh kepercayaan dan kerjasama kepada pihak berkuasa dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menyiasat punca kejadian dan memastikan segala bentuk bantuan, termasuk sokongan emosi dan kewangan, dapat disalurkan kepada keluarga mangsa serta para pelajar yang terlibat.

“Doa kami mengiringi setiap mangsa yang terkesan. Semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Buat yang masih dirawat, kami doakan agar mereka diberikan kesembuhan yang segera ” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa. 

“Ketahuilah bahawa dalam derita kalian, kami turut bersedih. Dalam tangisan kalian, kami turut menangis. Dan dalam setiap doa kalian, kami akan bersama mengangkat tangan memohon rahmat buat yang pergi dan kekuatan bagi yang ditinggalkan.

“Kami juga menyeru kepada semua pihak agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dalam setiap perjalanan dan mengutamakan peraturan serta undang-undang, terutamanya melibatkan pelajar dan golongan muda,” katanya. – MN

More From Author

PM arah KPT selaras bantuan kepada keluarga mangsa nahas bas

Nahas bas: Syarikat bas kunci mulut, enggan ulas video tular