Tak adil terus kritiik, Tunku Mahkota Ismail ‘arkitek’ bola sepak negara

JOHOR BAHRU: Tidak adil!

Demikan tegas Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd. Hairi Mad Shah tentang tindakan segelintir pihak yang terus-terusan mengkritik Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas penglibatan baginda dalam sukan bola sepak tanah air.

Menurutnya, tindakan iru juga boleh menggugat usaha membina ekosistem bola sepak yang profesional dan mampan.

Justeru, beliau kecewa dengan kritikan, provokasi dan tohmahan dilemparkan terhadap Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Tidak dinafikan Tunku Mahkota Ismail merupakan individu berpengaruh dan progresif dalam sejarah bola sepak negara. Menerusi perancangan teliti, baginda memperkenalkan struktur pengurusan profesional, sistem pembangunan akar umbi, kemudahan bertaraf dunia dan budaya prestasi tinggi. 

“Tidak keterlaluan jika saya katakan, Tunku Mahkota Ismail merupakan ‘arkitek’ revolusi bola sepak Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd. Hairi berkata, tindakan mempolitikkan usaha baginda hanya akan merugikan pembangunan sukan bola sepak negara. 

“Dalam dunia sukan moden, kita perlu seorang figura atau pemimpin yang berani, berwawasan dan konsisten. Baginda contoh terbaik dalam hal ini.

“Sehubungan itu, semua pihak termasuk persatuan negeri dan kelab perlu kembali memberi fokus untuk membina semula bola sepak negara secara bersama, bukan menuding jari atau memboikot yang akhirnya menghancurkan impian pemain dan peminat,” katanya.

Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail bertitah supaya mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan baginda untuk menerima kehadirannya atau ‘habiskan dirinya terus’.

“Jikalau apa yang membuatkan anda sakit hati adalah pengaruh, maka saya ada berita kurang baik, pengaruh itu tidak akan hilang. Sama ada dalam bola sepak, politik atau apa jua bidang sekalipun, ia adalah sebahagian daripada ekosistem. 

“Saya baru 41 tahun, dan pengaruh saya, kuasa, pengalaman, kewangan hanya akan bertambah dari sini,” titah baginda dalam laman sosial  Facebook, hari ini.

More From Author

Ajal imam tiba ketika penuhi hobi memancing

Nik Nazmi ‘kunci mulut’, tunggu pemilihan PKR