MERSING: Seorang imam menemui ajalnya akibat lemas selepas terjatuh dari bot ketika memancing berhampiran Jeti Kampung Semaloi awal pagi tadi.
Mangsa, Al Hafiz Yunus, 45, yang bertugas sebagai imam di Masjid Jamek Bandar Pontian disahkan meninggal dunia dan mayatnya ditemukan kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Mohd. Alias Hussin berkata, seramai 20 anggota termasuk pasukan penyelam terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat tersebut.
Pihaknya turut dibantu sembilan anggota polis, lima Rela, 12 kakitangan pejabat agama serta 51 orang awam.
Pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.25 pagi dan operasi pencarian menggunakan teknik ‘surface searching’ dalam radius kira-kira 100 meter dari jeti.
“Walau bagaimanapun, atas faktor keselamatan dan keadaan gelap di permukaan sungai, operasi pencarian ditangguhkan sementara pada pukul 3.30 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Pencarian disambung semula pada pukul 8 pagi menggunakan dua buah bot dan bantuan 10 anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Mersing dan PPDA Skudai.
“Pada pukul 12 tengah hari, mangsa berjaya ditemui oleh anggota PPDA kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
