JOHOR BAHRU: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku tidak mempunyai sebarang senarai cai dalam Pemilihan PKR kali ini.
Justeru, beliau memilih dan menyokong kedua-dua kempen, iaitu Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (Hiruk) dan Dari Akar, Membina Aspirasi Inklusif (Damai).
“Saya sudah mengundi tadi, saya tiada bawa cai sebab tu ambil masa panjang (mengundi) kerana teliti satu persatu, itu yang sebaiknya.
“Kita tengok yang terbaik, itu yang kita undi. Jadi, kalau sesetengah ada cai sana ada cai sini, saya tidak. Saya juga harap dalam keputusan kedua-dua (pihak) diambil kira yang dirasakan terbaik,” katanya ditemui pemberita usai melaksanakan tanggungjawab mengundi kepimpinan baharu PKR bagi penggal baharu di Hotel Berjaya Waterfront, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.
Anwar turut berpuas hati dengan kelancaran perjalanan proses pemilihan parti kali ini.
