Kesediaan Hishammuddin kembali bukti masih setia, sayangkan parti

KLUANG: Pengumuman Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk kembali ke pangkuan UMNO adalah bukti beliau sentiasa setia walau digantung keahliannya daripada parti.

Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid berkata, pengumuman tersebut kerana bekas Naib Presiden UMNO itu masih sayangkan parti dan dianggap sebagai satu hadiah dalam Ramadan pada kali ini.

“Kesediaan Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk kembali memperkasa serta mengukuhkan UMNO selepas penggantungan keahliannya sejak Januari 2023 ditarik balik disambut gembira dan terharu oleh kepimpinan dan ahli akar umbi UMNO Bahagian Sembrong.

“Berita gembira ini diterima pada bulan Ramadan, ini adalah sesuatu yang luar biasa kepada keseluruhan ahli parti di bahagian Sembrong yang selama ini sentiasa berdiri kukuh di bawah kepimpinan Hishammuddin,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, bahagian tersebut turut berterima kasih kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuka laluan Rumah Bangsa untuk terus memperkukuhkan kesatuan dan membina kembali kekuatan UMNO.

“Saya yakin, dengan kembalinya Hishammuddin ke pangkuan UMNO, ia bukan hanya akan membantu memperkukuhkan parti di peringkat bahagian serta ngeri Johor namun turut akan memperkasakan parti di peringkat kebangsaan,” katanya.

Justeru beliau berharap semua pihak kembali merapatkan saf membina kembali sokongan rakyat di peringkat akar umbi.

Jelasnya, ini supaya UMNO dapat menjadi tonggak kepimpinan negara pada masa akan datang.

Semalam, Hishammuddin menyatakan kesediaannya untuk kembali berjuang memperkasa serta memperkukuhkan UMNO jika penggantungan keahliannya ditarik balik parti.

Beliau terharu dan berterima kasih kepada Ahmad Zahid apabila parti itu membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannnya untuk bersama-sama kembali menyertai UMNO.

Jelasnya, untuk menyertai UMNO bukanlah keputusan sukar baginya walaupun telah digantung keahliaannya selama enam tahun bermula Januari 2023.

“Dalam tiga tahun saya digantung, saya tidak pernah keluar parti pun,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sembrong.- MAJESTIC

More From Author

Harimau baham dua ekor lembu, seekor kambing, warga bimbang

Lelaki pedofilia dijel 18 tahun, 24 sebatan