KLUANG: Penduduk Kampung Rahmat gempar apabila dua bangkai lembu dan bangkai seekor kambing ditemukan dipercayai dibaham harimau semalam dan kelmarin.
Ketua Kampung Rahmat, Salim Darman berkata, penemuan bangkai lembu pada semalam dan kambing kelmarin amat mengejutkan kerana secara kebiasaannya semua haiwan ternakan itu berada tidak jauh dari kawasan rumah atau kandang.
“Penduduk yakin harimau yang ditemui pada Ahad lalu masih berada dalam kawasan hutan kecil di kampung itu kerana kematian lembu berkenaan dijangka berlaku antara satu hingga dua hari lalu.
“Susulan daripada penemuan bangkai ternakan ini, penduduk yakin harimau berkenaan akan datang lagi dalam tempoh terdekat apatah lagi masih banyak sisa tinggalan daripada lembu yang masih belum dimakannya,” katanya ketika ditemui.
Susulan itu katanya, penduduk kampung mengharapkan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat melakukan tindakan lebih drastik lagi bagi mengesan kedudukan pak belang itu.
“Apa yang membimbangkan adalah sekiranya serangan berlaku keatas penduduk di kampung ini kerana ia dikhuatiri berada terlalu hampir dengan penempatan penduduk,” katanya.
Menurut Salim lagi, sebelum itu kelmarin pihaknya menemui bangkai seekor kambing tidak jauh dari kandang ternakan di hujung kampung berkenaan namun sudah ditanam oleh penternaknya.
Terdahulu portal ini melaporkan seorang pekebun bersama ayahnya serta seorang anggota polis terserempak dengan seekor harimau belang ketika dalam perjalanan pulang dari kebun.
Penemuan binatang pemangsa itu amat mengejutkan kerana belum pernah berlaku selain kedudukan Kampung Rahmat yang jauh dari hutan tebal selain berada di tengah-tengah kependudukan di daerah ini.- MAJESTIC
