Pelajar kolej maut, empat rakan cedera dalam kemalangan

MUAR: Seorang pelajar kolej maut apabila kereta dinaiki bersama-sama empat rakannya terlibat kemalangan di Jalan Felda Maokil di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 1.05 petang dalam kereta yang dinaiki lima pelajar kolej di Pagoh.

“Hasil siasatan mendapati kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun bersama-sama empat rakannya itu dalam perjalanan dari Labis menghala ke pekan Pagoh.

“Kereta berkenaan hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan tanpa melibatkan mana-mana kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut seorang penumpang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang duduk di bahagian belakang mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu pula mengalami kecederaan serius dan sedang menerima rawatan di Hospital Segamat manakala tiga penumpang lain cedera ringan dan turut dirawat di hospital sama.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh lima tahun.

Pihaknya meminta saksi kejadian untuk menghubungi Inspektor Siti Ayu Mohamad Japri 010-772 4850 atau tampil ke balai polis trafik berhampiran bagi membantu siasatan l.- Majestic

More From Author

JDT hantar Shan United pulang hampa, menang 3-0

Seorang nelayan dikhuatiri lemas, dua bot berlanggar