KOTA TINGGI – Seorang nelayan dikhuariti lemas manakala seorang lagi terselamat dengan berpaut pada kayu selepas bot mereka terbalik dilanggar bot lain di perairan Pengerang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 9.50 malam.
“Isteri mangsa yang hilang itu membuat laporan polis memaklumkan bot nelayan yang dinaiki suaminya bersama-sama pekerja terbalik.
“Susulan itu sepasukan anggota penyelamat daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Pengerang digerakkan ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati bot nelayan jenis fiber dinaiki suami wanita berkenaan iaitu seorang lelaki warga tempatan, 55, bersama-sama pekerjanya iaitu lelaki warga asing, 32, dilanggar sebuah bot lain yang tidak dikenal pasti pemiliknya.
Bot dinaiki dua nelayan itu kemudian terbalik, sebelum lelaki warga asing dijumpai berpaut pada kayu bot dalam keadaan selamat oleh PPM Wilayan Dua Pengerang.
“Bagaimanapun, nelayan tempatan masih belum ditemui,” katanya sambil memohon bantuan serta kerjasama nelayan yang berada di sekitar lokasi kejadian membantu pasukan mencari dan menyelamat mengesan kedudukan mangsa yang masih hilang.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu disarankan untuk tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berdekatan.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi menerusi talian 07-883 7222 atau Pemangku Ketua Polis Balai Pengerang, Sarjan Romeo Usit 011-10182027,” jelasnya.- Majestic
