KLUANG: Seorang lelaki warga emas didenda RM40,000O oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyeleweng 10,998 liter diesel, tiga tahun lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, tertuduh yang berusia 60 tahun itu turut diperintahkan menjalani hukuman penjara setahun jika gagal membayar denda itu.
Tertuduh kemudian membayar denda tersebut.
“Hakim Mujib Saroji menjatuhkan hukuman denda itu terhadap tertuduh, Ravi Chandran dan memutuskan supaya semua hasil jualan minyak diesel sebanyak 10,998 liter yang berjumlah RM23,865.66, sebuah lori serta treler tangki dilucut hak dan dijadikan hasil kerajaan.
“Kesalahan dilakukan pada 12 September 2023, kira-kira pukul 11.30 pagi dalam satu pemeriksaan oleh Pegawai Penguatkuasa KPDN Johor ke atas sebuah lori berkaitan aktiviti pengedaran minyak diesel bersubsidi di sekitar kawasan Simpang Renggam di sini.
“Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu ada dalam milikan barang kawalan berjadual diesel sebanyak 10,998 liter dalam keadaan yang menimbulkan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan berjadual secara borong atau runcit tanpa lesen,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Beliau berkata, pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa KPDN, S Loganathan, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Sharif Mohamed.
Pada masa sama, Lilis Saslinda menegaskan, KPDN akan bertindak dengan cekap dan pantas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang–undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan demi kepentingan rakyat.- Majestic
