Jaga sekolah nyaris maut diserang gajah

KOTA TINGGI: Seorang pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Perani, Bandar Sri Perani, di sini nyaris maut diserang seekor gajah liar, hari ini.

Kejadian yang menimpa Abdul Rahman Ahmad, 62, itu berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi di hadapan pintu masuk sekolah berkenaan.

Ketika kejadian dia baharu memulakan tugas seperti biasa sebelum dikejutkan dengan kehadiran seekor gajah dewasa dan bergading secara tiba-tiba dari arah belakang.

“Saya cuba mengelak dan melarikan diri tetapi tidak sempat sebelum terjatuh dan tergolek ke dalam longkang akibat terkena libasan belalai gajah itu.

“Mujur saya tidak dipijak oleh gajah berkenaan, jika tidak mungkin keadaan akan jadi bertambah buruk,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak kira-kira 200 meter dari sekolah berkenaan di sini hari ini.

Akibat kejadian itu, Abdul Rahman mengalami kecederaan pada jari tangan kanan dan kaki kiri selain bengkak di bahagian pinggang.

Beliau yang diselamatkan oleh ibu bapa yang sedang menghantar anak-anak ke sekolah sama kemudian menerima rawatan dan jahitan di Hospital Kota Tinggi.

Abdul Rahman yang sudah 12 tahun bertugas sebagai pengawal keselamatan berkata, kehadiran kumpulan gajah dianggarkan antara tujuh hingga 20 ekor semakin kerap memasuki kawasan sekolah sejak kebelakangan ini.

Katanya, selain merosakkan pagar sekolah, haiwan berkenaan turut menceroboh kebun kelapa sawit di belakang sekolah serta memusnahkan tanaman penduduk seperti tebu dan pisang.

“Malam kelmarin, kumpulan gajah ini dilaporkan merosakkan tanaman penduduk kira-kira 200 meter dari sekolah. Namun, kejadian pagi tadi adalah serangan pertama melibatkan penduduk setakat ini,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Sukirman Samsudin, 65, isu gajah di kawasan berkenaan bukanlah satu yang baharu sebaliknya telah berlarutan sejak sekian lama.

“Kumpulan gajah ini biasanya akan berkeliaran sekitar kebun kelapa sawit di belakang sekolah ini selain memakan tanaman seperti pisang dan tebu di belakang rumah penduduk.

“Bagaimanapun, selama ini kumpulan gajah ini tidak pernah menyerang penduduk, paling tidak pun mereka akan merosakkan dan menyepahkan tanaman-tanaman penduduk sahaja,” katanya.

Justeru, penduduk berharap agar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor dapat mengambil tindakan segera termasuk memindahkan kumpulan gajah itu ke dalam hutan.

Penduduk tidak mahu insiden seorang pengawal keselamatan maut diserang sekumpulan gajah liar di sebuah lombong pasir kira-kira lima kilometer dari kawasan itu enam tahun lalu daripada berulang. – Majestic

More From Author

JDT buat laporan polis, tak pernah jalin kerjasama dengan kelab resort

Seleweng diesel: Warga emas didenda RM40,000