JOHOR BAHRU: Tetap mahu hal milik kekal!
Itu pendirian penduduk Kampung Melayu Majidee.
Mereka tidak bersetuju dengan penyambungan tempoh pajakan kepada 99 tahun, sebaliknya tetap memohon hak milik kekal.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik-Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam), Abdul Rahim Md. Shariff berkata, itu merupakan permintaan penduduk secara majoriti dan kerajaan negeri masih belum memberikan penyelesaian tuntas tentang permohonan yang disuarakan lebih 40,000 penduduk tersebut.

“Kerajaan negeri memaklumkan tentang lanjutan tempoh pajakan, perkara itu dibolehkan kerana mengikut undang-undang, tetapi ia hanyalah jika pemilik tanah mampu membayar harga premium.
“Soalan utama adalah sama ada penduduk mampu atau tidak, kerana itu permohonan penduduk adalah untuk menukar status tanah kepada hak milik kekal, selain kadar premium paling minimum yang mampu dibayar,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, pihaknya masih belum menerima maklum balas tentang permohonan tersebut daripada kerajaan negeri sehingga kini.
“Kami masih belum terima jawapan, sekiranya permohonan itu ditolak kami mahukan alasan yang dinyatakan dengan jelas. Kami juga akan buat rayuan semula,” katanya.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberitahu, pihaknya menjamin penduduk Kampung Melayu Majidee di Johor Bahru tidak akan kehilangan pajakan terhadap tanah kediaman mereka.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak bersikap zalim atau mengambil hak rakyat termasuk melibatkan perkampungan Tradisi Melayu di kawasan bandar.
April lalu, media melaporkan lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee berdepan dilema apabila permohonan menukar status pajakan 99 tahun tanah kediaman daripada tanah rizab Melayu menjadi hak milik kekal tiada maklum balas.
