ISKANDAR PUTERI: Forest City Golf Resort mendapat memperoleh pengiktirafan penting apabila kedua-dua padang 18 lubangnya berjaya meraih status ‘GEO Certified’ yang berprestij, sekali gus menjadikannya salah satu daripada dua resort golf di Malaysia yang menerima pengiktirafan kelestarian global berkenaan.
Pensijilan GEO Certified yang dianugerahkan oleh Golf Environment Organization (GEO), diiktiraf secara antarabangsa sebagai standard paling berwibawa dalam industri golf bagi tanggungjawab alam sekitar dan sosial.
Penilaian itu berdasarkan tiga teras utama, iaitu alam semula jadi, sumber dan komuniti.
Daripada hampir 40,000 padang golf di seluruh dunia, kurang daripada 1 peratua atau kira-kira s240 padang telah menerima pensijilan itu
Di Asia, pengiktirafan tersebut amat jarang diberikan, menjadikan Forest City Golf Resort tergolong dalam kalangan destinasi golf yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Forest City Golf Resort telah menunjukkan kemajuan yang membanggakan dalam mengamalkan amalan kelestarian serta komitmen terhadap penjagaan alam sekitar dan usaha penambahbaikan berterusan,” kata Brad Revil, pengesah bebas yang diperakui GEO, selepas menjalankan audit menyeluruh di tapak.
Beliau turut memuji inisiatif fasiliti tersebut termasuk pengurangan kawasan rumput turf, percubaan dan usaha menggunakan spesies tempatan, pemasangan sistem pengairan yang cekap serta usaha aktif dalam pemuliharaan habitat dan kawasan paya.
“Saya menantikan perkembangan selanjutnya dalam pelan pengurusan habitat dan penglibatan komuniti mereka,” katanya.
Pensijilan ini turut disokong oleh badan golf antarabangsa utama, termasuk European Tour dan Asian Tour dan sering dirujuk sebagai ‘pasport hijau’ dalam sukan golf.
Selain itu, Forest City Golf Club turut meraih dua anugerah industri yang berprestij secara berturut-turut.
Pertama, dalam senarai ‘100 Padang Golf Terbaik Asia-Pasifik 2024-2025’ yang dianjurkan oleh organisasi pemilihan industri golf terkemuka Cloud Golf, Forest City Legacy Golf Course berjaya menduduki tempat ke-49.
Pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan kualiti luar biasa padang golf tersebut, malah merupakan satu kejayaan besar dalam pembangunan resort golf yang terletak di Johor.
Seterusnya, padang golf Classic di Forest City merangkul satu lagi berita baik, padang ini berjaya menduduki tempat ke-50 dalam senarai ‘100 Padang Golf Terbaik Asia 2025’ yang diterbitkan oleh majalah profesional dan berwibawa, Golf Travel, naik 14 anak tangga berbanding kedudukan pada tahun 2024.
Kedudukan itu menjadikannya salah satu daripada hanya tiga padang golf di Malaysia yang tersenarai. Ini merupakan tahun keenam berturut-turut padang Classic disenaraikan dalam ranking berprestij berkenaan, membuktikan kecemerlangannya yang berterusan dalam konsep reka bentuk, penyelenggaraan dan standard perkhidmatan.
Sejak dibuka pada tahun 2018, Forest City Golf Resort telah memenangi lebih daripada 10 anugerah, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai penanda aras dalam landskap pelancongan golf bertaraf tinggi di Asia, sekali gus menarik minat penggemar sukan golf dari seluruh dunia.
Pada tahun 2024, resort tersebut telah menerima lebih daripada 100,000 pemain golf, menjadikannya salah satu kelab golf dengan jumlah pengunjung tertinggi di Malaysia dan destinasi pelancongan golf yang mapan dalam negara. – MN
