Janda bawa anak kecil ditangkap khalwat

JOHOR BAHRU: Seorang janda memberi alasan mahu bincang tentang perkahwinan dengan seorang lelaki warga Indonesia semasa ditangkap khalwat di sebuah hotel di bandar raya ini pagi tadi.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan memaklumkan, tangkapan dibuat pada pukul 1.30 pagi dan mengambil masa lima minit untuk pintu bilik hotel dibuka oleh wanita.

“Wanita berkenaan memakai tshirt dan berseluar panjang berusia 30-an. Keadaan bilik gelap, semasa lampu dibuka penguat kuasa menjumpai seorang kanak-kanak berumur sekitar enam atau tujuh tahun.

“Kanak-kanak itu merupakan anak wanita terbabit yang sedang tidur di lantai beralaskan tilam nipis.

“Apabila penguat kuasa ditanya ada sesiapa lagi di dalam bilik itu? wanita berkenaan tidak menjawab,” menurut kenyataan tersebut.

JAINJ memaklumkan, penguat kuasa memeriksa tandas tetapi pintu berkunci dan panggilan tidak dijawab.

Tambah kenyataan itu, tiga minit kemudian pintu tandas dibuka dan seorang lelaki berseluar panjang serta memakai tshirt keluar dalam keadaan ketakutan.

“Ketika ditanya hubungan mereka, mereka mengaku pasangan kekasih dan mahu bernikah dalam masa terdekat.

“Wanita ini seorang janda dan bekerja di Johor Bahru manakala lelaki pula berumur 20-an, warga Indonesia, masih bujang dan bekerja di sebuah pasar di Johor Bahru. Hotel disewa atas nama wanita,” jelasnya.

Jabatan berkenaan memaklumkan, pasangan tersebut memberikan alasan datang ke hotel untuk berbincang urusan perkahwinan mereka.

“Apabila ditanya apakah yang dibincangkan, lelaki jawab cara hendak memohon nikah warga asing dengan kedutaan dan pejabat kadi.

“Kalau betul pun nak berbincang, tidak perlu masuk bilik hotel. Tempat lain banyak lagi (boleh bincang) termasuk kedai mamak 24 jam,” menurutnya lagi.

Jelas JAINJ, berbagai-bagai alasan dicipta pasangan yang ditangkap berkhalwat seperti mereka yang kerap didengari penguat kuasa.

“Penguat kuasa wanita jumpa baju dan seluar dalam wanita dalam bilik air. Wanita terbabit juga mendakwa tidur hotel kerana sudah lewat untuk pulang ke rumah selepas keluar membeli-belah.

“Penguat kuasa menasihati lelaki ini supaya menjaga akhlak apabila mencari rezeki di negara orang dan jangan melakukan maksiat atau jenayah,” katanya.

Pasangan itu ditangkap atas kesalahan khalwat Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. – Majestic

More From Author

Reka cerita dirogol, seks luar tabii takut dimarah ibu

Shamsul Iskandar letak jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan PM