Warga emas maut tercampak, tayar lori pecah, terbalik dalam longkang

JOHOR BAHRU: Seorang warga emas maut selepas lori yang dipandunya terbabas dan terbalik di Kilometer 27 Lebuhraya Pasir Gudang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan berlaku pukul 12.20 tengah hari ketika lelaki tempatan berusia 69 tahun itu memandu dari arah Tiram ke Kong Kong.

“Hasil siasatan awal mendapati tayar belakang kiri lori jenis Mitsubishi itu tiba-tiba pecah ketika kenderaan tersebut berada di lorong tengah.

“Kejadian itu menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum lori terbabas ke bahu kanan jalan dan terbalik ke dalam longkang,” katanya dalam kenyataan.

Akibat hentakan kuat, mangsa tercampak keluar dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir ke lokasi kejadian.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara cuai atau berbahaya.

Pihaknya menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, memandu dengan berhemah serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum digunakan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Saksi atau individu yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menerusi talian 07-3864222 bagi membantu siasatan. – Majestic

More From Author

Scammer diberkas

84 pekerja asing guna kad pengenalan palsu, milik orang lain