JOHOR BAHRU: Seorang wanita Bangladesh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari atas tuduhan memotong kemaluan teman lelakinya dua minggu lalu.
Walau bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Begum Masuma, 34, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail memandang tertuduh kurang memahami pertuduhan tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Begum yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang didakwa memotong kemaluan teman lelakinya, Babu Mondol, 33, di sebuah rumah dekat kawasan setinggan belakang sebuah kilang di Gelang Patah kira-kira pukul 1 pagi, 8 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Zuhainie Zull Kafli memberitahu mahkamah kesalahan di bawah seksyen berkenaan adalah tidak boleh dijamin.
“Tertuduh adalah warga asing dan telah dituduh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan tidak mempunyai sebarang dokumen sah untuk memasuki Malaysia.
“Ini juga kesalahan serius kerana mendatangkan cedera parah pada mangsa yang juga teman lelakinya dan mereka berdua tinggal serumah,” katanya.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan perkhidmatan jurubahasa Bangladesh.
Pada 9 Oktober lalu media melaporkan seorang wanita warga Bangladesh ditahan selepas memotong kemaluan teman lelakinya akibat cemburu apabila mengetahui lelaki itu masih mempunyai isteri di negara asal. – Majestic
