Israel tembak bas didakwa melintasi ‘garisan kuning’, 9 sekeluarga maut

GAZA: Sembilan sekeluarga Palestin terbunuh selepas zionis Israel menembak sebuah bas yang didakwa melintai ‘garisan kuning’, semalam.

Garisan kuning berfungsi sebagai zon larangan masuk yang ditujukan kepada penduduk Gaza dan pejuang Hamas. Israel mengisytiharkan bahawa mana-mana individu yang melintasi garisan ini dan mendekati kedudukan tentera mereka akan dianggap sebagai ancaman.

Jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, berkata, kru pertahanan awam menemui sembilan mayat selepas zionis Israel menyasarkan sebuah bas yang membawa orang yang dipindahkan ke timur kawasan Zeitun semalam.

Bassal berkata, mangsa ialah ahli keluarga Abu Shabaan dan terbunuh ketika ingin memeriksa rumah mereka di Zeitun.

Tentera Israel mendakwa sebuah kenderaan melintasi ‘garisan kuning’, sempadan di mana tentera Israel ditempatkan mengikut perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.

“Pasukan menembak memberi amaran ke arah kenderaan mencurigakan, tetapi kenderaan itu terus menghampiri mereka.

“Oleh itu, pasukan melepaskan tembakan untuk menghapuskan ancaman, mengikut perjanjian,” kata tentera itu dalam satu kenyataan.

Gencatan senjata antara Israel dan Hamas kini memasuki minggu kedua, tetapi beberapa insiden telah dilaporkan sejak ia bermula.

Ratusan ribu rakyat Palestin sudah kembali ke utara Gaza mencari rumah masing-masing sejak gencatan senjata bermula, tetapi sukar menemui rumah mereka di tengah kemusnahan luas yang ditinggalkan lebih dua tahun peperangan.

Beberapa penduduk Gaza yang bercakap kepada AFP berkata, mereka tidak dapat menemui rumah mereka di kawasan yang kini tertimbus di bawah runtuhan bangunan dan serpihan. – AFP

More From Author

Selangor belasah Negeri Sembilan

Saya sayang isteri dan anak kami – Kamal Adli