KUALA LUMPUR: Pelakon Kamal Adli, 39, menjelaskan hubungan dengan isteri, Uqasha Senrose baik dan cukup menyayangi cahaya mata mereka, Hawra Uqaira.
Melalui hantaran Instagram (IG), Kamal menjawab spekulasi mengenai rumah tangga mereka termasuk konon tidak bekerja.
“Saya terpanggil untuk membetulkan beberapa kenyataan netizen yang membabitkan maruah saya, isteri dan keluarga kami.
“Pertama, ada segelintir netizen buat andaian saya tiada masa untuk anak sendiri… Tidak baik. Banyak sahaja masa saya luangkan untuk Hawra, bawa bercuti dan sebagainya.
“Saya adalah seorang ayah. Saya sangat sayangkan anak saya. Mustahil saya tak fikir pasal Hawra,” katanya dalam entri itu.
Menerusi hantaran yang sama, Kamal menafikan dakwaan konon tiada ‘job’ selama tiga bulan.
“Salah, saya sengaja tidak ambil ‘job’ selama dua bulan untuk berehat selepas ‘back to back’ dengan kerja. Pada masa sama, saya mahu fokus kepada isteri dan anak.
“Tidak baik awak cakap saya tiada ‘job’. Alhamdulillah, setakat ini, rezeki saya tidak putus… Cukup untuk keluarga kecil saya.
“Paling penting, isteri dan anak saya sihat serta sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah. Saya sangat bersyukur isteri dan anak saya dikelilingi ahli keluarga dan orang yang menyayangi mereka…Alhamdulillah,” katanya.
Kamal mendakwa tidak banyak berkongsi mengenai hal peribadi dalam laman sosial berikutan trauma dengan insiden diserang individu yang tidak dikenali pada sesi bertemu peminat di Expo Singapura, dua tahun lalu.
“Harap kalian boleh faham… Saya ada sahaja,” katanya.
Kamal memohon orang ramai tidak terus memberi provokasi kepada dirinya dan Uqasha kerana risau boleh memberi kesan kepada mereka sekeluarga.
“Kepada segelintir netizen yang tinggalkan komen negatif kepada saya atau isteri, jangan begitu. Urusan peribadi kami biarlah jadi rahsia kami suami isteri.
“Saya cuma minta, janganlah ‘provoke’ isteri saya atau tinggalkan komen negatif. Isteri saya juga manusia. Kadang-kadang penat kerja, sesekali ‘stress’.
“Apa yang terbaik, doakan isteri saya dan kami sekeluarga. Demi Allah, saya sayangkan isteri saya dan anak sangat… Minta maaf. Saya sayang kalian juga,” katanya. – BH
