WASHINGTON: Suspek kes pembunuhan aktivis konservatif, Charlie Kirk, tidak memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa walaupun ditahan sejak Khamis lalu.
Gabenor Utah, Spencer Cox, berkata penyiasat sedang berusaha mencari motif di sebalik insiden itu dengan merakamkan keterangan rakan dan keluarga suspek.
“Dia belum mengaku bersalah, tidak bekerjasama. Tetapi semua orang di sekelilingnya bekerjasama dan saya rasa itu sangat penting,” kata Cox dalam program ABC ‘This Week’.
Cox berkata, suspek, Tyler Robinson, 22, akan didakwa pada Selasa dan kini masih berada dalam tahanan di Utah.
Kirk, pengasas bersama kumpulan konservatif Turning Point USA dan penyokong tegar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ditembak di leher ketika satu acara luar di Orem, Utah, yang dihadiri 3,000 orang.
Pembunuhan itu mencetuskan kebimbangan baharu mengenai peningkatan keganasan politik dan jurang yang semakin besar antara pihak kiri dan kanan di AS.
Robinson ditahan selepas serbuan di kediaman keluarganya kira-kira 33 jam selepas insiden tembakan itu.
Cox berkata, penyiasat masih belum mengetahui sebab Robinson memanjat bumbung Utah Valley University dan menembak Kirk di leher dari jauh pada Rabu lalu.
Katanya salah seorang yang bekerjasama dengan penyiasat adalah rakan sebilik Robinson, yang juga merupakan ‘pasangannya’.
Reuters tidak berjaya menghubungi rakan sebilik atau wakilnya untuk mendapatkan kenyataan, malah tidak juga menemui siapa peguam Robinson.
Motif sebenar pembunuhan masih belum dikenal pasti, namun pihak berkuasa sedang meneliti latar belakang ideologi suspek yang dikatakan berbeza daripada keluarganya.
Cox sebelum ini menyatakan bahawa Robinson ‘sangat dipengaruhi oleh ideologi kiri’, berdasarkan maklumat daripada kenalan dan ahli keluarga suspek.
Dalam program ‘Meet the Press’, Cox menyalahkan sebahagian media sosial dan menyifatkan ia memainkan peranan langsung dalam setiap pembunuhan dan percubaan pembunuhan yang berlaku dalam lima hingga enam tahun kebelakangan ini. – REUTERS
