Nasib malang terus hantui Onana

LONDON: Penampilan sulung Andre Onana bersama Trabzonspor di Turkiye bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kesilapan mudahnya menghadiahkan kemenangan kepada seteru, Fenerbahce, awal pagi tadi.

Penjaga gol antarabangsa Cameroon itu pada mulanya cemerlang menafikan percubaan lawan, namun tindakan susulannya menghantar bola tepat ke kaki Youssef En-Nesyri yang tidak melepaskan peluang menyudahkannya dari jarak dekat.

Gol tunggal itu cukup untuk memastikan Fenerbahce naik ke tangga kedua liga, sementara Trabzonspor pula jatuh ke kedudukan ketiga.

Onana berpindah ke Turkiye secara pinjaman selepas melalui dua musim penuh tekanan bersama Manchester United, namun jelas nasib malang seakan terus menghantuinya.

Ketika bersama United, Onana menyertai kelab itu dari Inter Milan dengan harga 47.2 juta pound (RM269 juta), tetapi kariernya di Old Trafford dibayangi kritikan, termasuk kehilangan tempat utama kepada Altay Bayindir akibat kecederaan hamstring pada awal musim panas lalu.

Kehadiran penjaga gol Belgium, Senne Lammens dari Antwerp akhirnya membuka jalan buat Onana meninggalkan United bagi mencari nafas baharu bersama Trabzonspor.

Pengurus United, Ruben Amorim sebelum ini mengakui Onana gagal mengendalikan tekanan selaku penjaga gol utama Red Devils walaupun memiliki kualiti tinggi semasa di Inter Milan.

“Dia mengharungi musim yang sangat baik di Inter, kualiti itu ada. Tapi di United tekanannya luar biasa, setiap kesilapan jadi perhatian. Kadang-kadang pemain perlukan perubahan suasana untuk kembali ke tahap sebenar,” kata Amorim. – AGENSI

More From Author

Amorim pengurus terburuk EPL

Suspek tembak Charlie Kirk enggan beri kerjasama kepada pihak berkuasa