Lebih 1,300 artis dunia tolak kerjasama dengan institusi filem Israel

LONDON: Lebih 1,300 artis antarabangsa termasuk nama besar Hollywood menandatangani ikrar untuk tidak bekerjasama dengan institusi filem Israel yang didakwa bersekongkol dalam penindasan terhadap Palestin.

Al Jazeera melaporkan, antara yang menyokong boikot itu termasuk pelakon pemenang Oscar, Olivia Colman, Ayo Edebiri, Mark Ruffalo, Riz Ahmed, Tilda Swinton serta Javier Bardem.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan kelmarin, mereka mengecam “kengerian tanpa henti” yang berlaku di Gaza apabila lebih 64,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh, selain kebanyakan wilayah berkenaan musnah akibat serangan Israel.

Kenyataan itu menyebut mereka berikrar untuk tidak menayangkan filem, menyertai festival, atau bekerjasama dengan mana-mana syarikat produksi serta penyiaran Israel yang didakwa terbabit dalam genosid dan apartheid terhadap rakyat Palestin.

Menurut laporan tersebut, ikrar berkenaan antara lain menyatakan kerjasama sedemikian dilihat sebagai “bersubahat” dalam pencabulan hak asasi, termasuk cuba menutup jenayah genosid serta normalisasi hubungan dengan kerajaan Israel.

Sepanjang hampir dua tahun konflik di Gaza, pelbagai badan hak asasi, akademik terkemuka dan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengaitkan Israel dengan jenayah genosid.

Hollywood yang suatu ketika dahulu lantang menyokong Israel kini menyaksikan semakin ramai aktor dan pengarah tampil mengecam dasar Zionis meskipun berisiko menjejaskan kerjaya.

Pada 2023, pelakon Susan Sarandon dilaporkan disingkirkan agensi bakat selepas menghadiri perhimpunan solidariti Palestin. Manakala Melissa Barrera pula kehilangan peranan dalam francais filem seram Scream gara-gara kenyataan lantang terhadap Israel di media sosial.

Namun, suara solidariti terhadap Palestin kian kuat. Filem No Other Land yang menyorot kemusnahan perkampungan Palestin di Tebing Barat berjaya merangkul Oscar bagi Dokumentari Terbaik, manakala karya The Voice of Hind Rajab meraih tepukan berdiri 23 minit di Festival Filem Venice baru-baru ini.

Dalam kenyataan itu, para artis turut menegaskan bahawa filem mempunyai kuasa membentuk persepsi dan pada saat genting ini, dunia seni tidak boleh berdiam diri ketika Gaza terus dibedil. – AGENSI

More From Author

Anak Ronaldinho sertai skuad B-21 Hull City

Tentera ambil alih kuasa selepas kerajaan Nepal digulingkan