LONDON: Anak kepada legenda bola sepak Ronaldinho, Joao Mendes de Assis Moreira dilaporkan melengkapkan perpindahan ke sebuah kelab Liga Kejuaraan bagi langkah seterusnya dalam usaha membina karier bola sepaknya.
Pemain berusia 20 tahun itu yang dilahirkan di Rio de Janeiro pernah bermain untuk beberapa kelab termasuk Flamengo dan Vasco da Gama ketika zaman remajanya.
Beliau menandatangani kontrak profesional pertamanya bersama kelab Brazil, Cruzeiro pada usia 14 tahun.
Mendes dilaporkan menyembunyikan identiti bapanya yang juga bintang terkenal ketika cuba mendapatkan kontrak bersama kelab terbabit.
Selepas empat tahun, Mendes meninggalkan Cruzeiro pada tahun 2022 dan mengikuti jejak bapanya dengan menyertai Barcelona pada Mac 2023.
Mendes menyertai skuad Bawah 19 tahun (B-19) Barcelona selama lebih setahun sebelum membuat keputusan untuk berpindah ke Burnley pada awal musim lalu.
Namun, Mendes menjadi antara pemain yang dilepaskan oleh Burnley pada penghujung musim 2024/25 selepas kelab itu dipromosi ke Liga Perdana Inggeris (EPL).
Menurut Hull Daily Mail, Mendes dilaporkan melengkapkan perpindahan ke Hull City di mana beliau akan menyertai skuad bawah 21 tahun (B-21) kelab itu.
Mendes yang kebiasaannya bermain di posisi sayap kiri, menggambarkan dirinya sebagai seorang pemain yang ‘teknikal dan pantas.’
Sebelum ini, Mendes mendedahkan bahawa perpindahannya ke England adalah sebahagian usahanya untuk mengelak daripada dibandingkan dengan bapanya di Barcelona memandangkan Ronaldinho dianggap sebagai antara pemain terhebat dalam sejarah kelab itu. -AGENSI
