Jalur Gemilang terbalik: Akmal bakal dituduh Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengesahkan bakal berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam pada Jumaat ini.

Jelasnya, beliau telah dihubungi pihak polis dengan pendakwaan akan dibuat di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Tetapi disebabkan saya baru saja sampai ke Mekah semalam, saya akan pendekkan ziarah umrah. Insya-Allah tarikh untuk dihadapkan ke mahkamah adalah pada 22 Ogos 2025 iaitu pada hari Jumaat ini jam 8 pagi.

“Saya memohon doa daripada semua rakyat Malaysia agar Allah mempermudahkan urusan ini.

“Jika inilah harga yang perlu dibayar untuk memartabatkan kedaulatan negara, maka saya tidak akan bergerak walau seinci pun untuk mengaku kalah. Kita akan lawan di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di laman Facebook beliau, hari ini.

Pada 14 Ogos lalu, Muhamad Akmal dilaporkan mengetuai lebih 300 individu daripada UMNO, Bersatu dan Pas dalam perarakan sejauh 1.4 kilometer bagi membantah tindakan sebuah kedai perkakasan yang mempamerkan Jalur Gemilang terbalik di Kepala Batas.

Sehubungan itu, DAP mengarahkan sayap Pemudanya (DAPSY) di seluruh negara membuat laporan polis terhadap tindakan pemimpin muda UMNO itu.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, laporan polis dibuat mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan, iaitu menakutkan secara jenayah, Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan.

Menurut Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan EXCO Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, pertuduhan di mahkamah itu berkaitan kehadirannya dalam Himpunan Solidariti Bendera Pulau Pinang.

Katanya, pada 15 Ogos lalu beliau dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk diambil keterangan berhubung himpunan terbabit yang berakhir pada jam 2 pagi hari berikutnya. – Majestic

More From Author

PBB: Dapur komuniti Gaza hanya hasilkan satu pertiga hidangan berbanding 4 bulan lalu

Empat lawan satu, pembuli tendang macam pengecut