KANGAR: Dua lori yang sepatutnya menghantar ayam sejuk beku ke Thailand, sebaliknya berpatah balik ke Malaysia menerusi pintu sempadan Padang Besar, dekat sini, kononnya membawa produk dari negara jiran itu, dengan tujuan mendapatkan potongan 20 peratus cukai import.
Taktik itu dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis, membabitkan 55,572 kilogram (kg) ayam sejuk beku bernilai lebih RM800,000 selepas menahan dua lori berkenaan, kira-kira jam 3.20 petang 26 Julai lalu.
Dua lori itu ditahan sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar ketika cuba berpatah balik memasuki negara ini melalui Pusat Pemeriksaan Kastam, Unit Dagangan Jalan Raya, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar.
Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim, berkata pihaknya mengesan cubaan penipuan berkenaan selepas meneliti pengikraran barangan yang dinyatakan dalam Borang Kastam yang dibawa pemandu lori terbabit.
“Pihak terbabit menyalahgunakan Borang Kastam 1 (Borang K1), iaitu untuk barangan import. Dalam ikrar borang itu, dinyatakan bahawa barangan (ayam sejuk beku) itu adalah diimport dari Thailand, namun pihak sindiket sudah menggunakan Borang K8.
“Borang K8 adalah borang membabitkan pemindahan barangan dan dalam kes ini dari Pulau Pinang untuk dihantar ke Thailand. Apa yang berlaku, mereka tidak pun hantar barangan itu ke Thailand, sebaliknya berpatah balik ke negara ini sambil menunjukkan Borang K1, kononnya barangan itu dari negara jiran itu,” katanya.
Menjelaskan demikian kepada pemberita di Pejabat JKDM Perlis, di sini hari ini, beliau berkata, tujuan pengikraran itu dibuat adalah untuk mendapatkan keistimewaan potongan 20 peratus cukai import yang lazimnya diberikan kepada setiap barangan dagangan berasal dari negara Asia Tenggara.
“Jadi ini pengikraran yang tidak benar, maknanya hasrat mereka adalah (ayam sejuk beku) itu dihantar ke Thailand, tetapi itu tidak berlaku di mana mereka berpatah balik ke Malaysia. Salah satu tujuan pihak sindiket sebenarnya untuk mengelak membayar cukai.
“Tidak berlaku pun sebarang pengeksportan ke Thailand atau penghantaran ke Thailand sebaliknya ia adalah ‘direct’ dari situ (ICQS Padang Besar), terus berpatah balik ke Malaysia,” katanya.
Ismail berkata, pihaknya juga mengesan negara asal ayam sejuk beku itu juga bukan dari negara jiran seperti didakwa, sebaliknya sebuah negara Asia lain yang tidak layak untuk mendapatkan potongan cukai import negara Asia Tenggara.
“Lima individu sudah ditahan, iaitu pemandu lori, ejen serta pengimport ayam sejuk beku itu untuk siasatan lanjut kerana penipuan negara asal barangan dagangan itu, cuba elak cukai import serta tiada sijil halal yang sah.
“Jika barangan dagangan itu benar dari Thailand, memang akan ada sijil halal, termasuk daripada veterinar negara itu sebagai syarat untuk membolehkan ia dibawa masuk ke negara ini. Ayam sejuk beku tertakluk kepada permit mengikut Butiran 1, Bahagian I, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Dagangan disita dianggarkan 55,572kg dan bernilai RM883,580 dengan cukai RM166,716. Kita juga sita dua lori dianggarkan bernilai RM240,000. Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – BH
