Mahkamah Persekutuan tetapkan Rabu depan keputusan rayuan Titah Adendum

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menetapkan Rabu depan keputusan rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) menghalang permohonan Datuk Seri Najib Razak mendapatkan Titah Adendum bagi membenarkan tahanan di rumah.

Perkara itu disahkan peguam mewakili bekas Perdana Menteri itu, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, ketika dihubungi NST hari ini.

Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan mendakwa Titah Adendum daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 membolehkan beliau menjalani baki tempoh penjara secara tahanan di rumah.

Beliau kini menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Kajang, Selangor selepas disabitkan bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Ketika prosiding terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, dilaporkan berkata AGC tidak mempertikai kewujudan Titah Adendum.

Beliau bagaimanapun mencabar prosedur titah itu dimasukkan sebagai bukti baharu dalam semakan kehakiman difailkan Najib.

Seorang lagi peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pula berhujah AGC tidak sepatutnya mendakwa titah itu spekulatif di peringkat semakan kehakiman, jika benar-benar mengamalkan prinsip kejujuran, ketelusan dan keterbukaan.

Katanya, obligasi untuk bersikap jujur ketika prosiding semakan kehakiman tidak memerlukan untuk anak guamnya mendapatkan salinan titah berkenaan.

Sebaliknya, beliau berkata, ia adalah tugas Peguam Negara untuk mengesahkan kewujudan Titah Adendum, jika mahu mempertikaikan keabsahannya. – BH

More From Author

KPM jamin sekolah asrama di bawah kendaliannya selamat – Fadhlina

Tipu Kastam semata-mata nak diskaun cukai import